Isnin, 12 Julai 2010

SUSAH NAIK PANGKAT

SAYA terpanggil untuk menyambung kenyataan Jurutera Terpinggir, di ruangan Surat dan E-Mel, Berita Harian, Jumaat, 9 Julai 2010. Sememangnya apa yang dinyatakan beliau adalah bukan saja mewakili kelompok jurutera saja, malah boleh mewakili kebanyakan pegawai dan anggota perkhidmatan awam lain. Perkara ‘susah naik pangkat’ adalah fenomena biasa bagi pegawai atau anggota awam yang sudah lama berkhidmat terutama di dalam klasifikasi perkhidmatan pertanian, sosial, agama, kewangan dan berpuluh perkhidmatan lain lagi.

Seperti kenyataan beliau, jurutera muda sekarang yang baru dilantik mudah mendapat kenaikan pangkat sehingga gred 48 sehingga sama taraf dengan jurutera yang sudah lama berkhidmat. Fenomena yang sama juga berlaku perkhidmatan pertanian, sosial dan pelbagai klasifikasi perkhidmatan lain. Pegawai muda yang baru dilantik lima enam tahun dengan mudah dapat melompat ke gred 48 walaupun dengan pengalaman, kemahiran dan kebolehan yang masih diragui. Terima kasih kepada pengurusan tertinggi jabatan kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana memudahcara peningkatan ini. Ia menjadi rezeki bagi pegawai muda kerajaan dan secara langsung dapat meningkatkan pendapatan secara mudah dalam tempoh masa yang lebih singkat berbanding dan setanding dengan pegawai lama. Selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat berpendapatan tinggi. Sekurang-kurangnya satu kelompok penduduk negara kita dapat menikmatinya.

Bagi pegawai lama seperti Jurutera Terpinggir dan kebanyakan yang dilantik menjadi pegawai kumpulan A pada era 1980-an, samalah merasai ketidakadilan dan kurangnya prihatin terhadap kemajuan kerjaya masing-masing oleh pihak yang lebih berkuasa. Berlakunya keadaan masih ‘prebet’ biarpun sudah menjangkau 20 ke 25 tahun berkhidmat adalah perkara biasa pada kebanyakan pejabat kerajaan. Tetapi kini keadaan sudah berubah sedikit, pegawai baru menikmati rasa, pegawai lama memendam rasa. Seperti kata Jurutera Terpinggir, bekerja lama pun sama taraf saja dengan pegawai baru. Itulah penghargaan yang sama-sama kita peroleh di dalam perkhidmatan awam. Bukan sindiran tetapi kenyataan era kini. Keadaan lebih teruk bagi kumpulan sokongan (dahulunya kumpulan B, C dan D). Ketiadaan penstrukturan semula jabatan adalah antara sebab anggota kumpulan sokongan tidak ke mana. Peluang kenaikan pangkat yang amat sedikit mengecewakan anggota. Mujurlah luahan melalui CUEPACS dilayan kerajaan pada tahun lalu. Merasa juga kenaikan pangkat melalui kenaikan Khas Untuk Penyandang (KUP) bagi mereka yang berkhidmat melebihi 15 tahun.

Terima kasih CUEPACS. Walaupun begitu, sehingga kini masih ramai yang kekal sebagai prebet kerana kekangan (tidak lulus) Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK) dan juga kerenah pegawai atasan jabatan yang menyusahcara pelaksanaan KUP berkenaan. Soal ketidakadilan dan kejatuhan semangat bekerja sudah lama bermain dalam kalangan anggota sokongan terutama bagi anggota yang sudah lama berkhidmat. Masakan tidak, seolah-olah tiada jasa walaupun sudah berpuluh tahun berkhidmat tetapi masih di takuk lama. Tiada pengiktirafan terhadap berpengalaman. Tidak seperti di sektor swasta. Kita tidak pernah belajar daripada swasta walaupun sudah ramai pegawai tinggi yang terdedah dengan cara kerja swasta. Tidak usahlah kita hendak berkata yang tidak baik terhadap pegawai dan anggota kumpulan sokongan ini sekiranya mereka menjalankan kerja sampingan seperti berniaga dan sebagainya. Mereka terpaksa melakukannya demi untuk meneruskan kehidupan. Penambahbaikan di dalam perkhidmatan awam memang berlaku tetapi tidak menyeluruh. Hanya segelintir saja yang terbabit seperti perkhidmatan Penolong Pegawai Tanah, tukang masak, jurumudi, kelasi dan juru enjin. Sedangkan ada beratus perjawatan dan berpuluh skim perkhidmatan lagi. Di manakah keadilannya? Apakah pegawai dan anggota lain tidak memberi sumbangan untuk negara? Sehingga kini, ramai anggota kumpulan sokongan yang pencen dengan ‘prebet’ saja. Sebelum ini ramai yang menikmati pencen di bawah paras kemiskinan (di bawah RM720 sebulan ) terutama bekas anggota kumpulan D.

Setelah penyelarasan pencen dibuat dua tahun lalu, dapatlah mereka itu melepasi paras kemiskinan. Bekas anggota kumpulan sokongan lain iaitu B dan C pun kebanyakannya sekadar cukup makan. Hakikat dan kenyataannya memang begitu. Tiada yang senang dengan hasil pencen. Sehubungan itu, saya berharap pengwujudan pihak berkuasa, sama ada peringkat menteri atau badan bebas tertentu yang mampu mengkaji, menyelidik, mengatur, menyelaras dan menyusun semula perjawatan awam terutama di jabatan kerajaan yang tertinggal secara lebih baik, menyeluruh dan berdaya maju. JPA dan ketua jabatan seolah-olah saling mengharap antara satu sama lain dan setelah sekian lama, masih ramai pegawai dan anggota sokongan yang ketinggalan. RUSDEE, Besut, Terengganu.

Jumaat, 9 Julai 2010

KURSUS PENGURUSAN JURULATIH UTAMA BAGI PEMBANTU MAKMAL NEGERI PERAK 6 HINGGA 8 JULAI 2010

Barisan Jurulatih Utama ( JU ) Pembantu Makmal Negeri Perak yang mengikuti kursus

Ketua Pemuda Cuepacs Perak Bersama Setiausaha Agung KSKM Malaysia dan Pengerusi KSKM Negeri Perak

KURSUS PENGURUSAN JURULATIH UTAMA (JU) UNTUK PEMBANTU MAKMAL NEGERI PERAK
ANJURAN BERSAMA JABATAN PELAJARAN PERAK DAN KESATUAN SEKERJA KAKITANGAN MAKMAL NEGERI PERAK


TARIKH ; 6 HINGGA 8 JULAI 2010
TEMPAT : FAEZ HOTEL , PASIR BOGAK, PULAU PANGKOR, PERAK.
PESERTA : 40 ORANG DARI SELURUH NEGERI PERAK




Selasa, 6 Julai 2010

IKTIRAF KAKITANGAN AWAM DAN SWASTA

Datuk Seri Najib Tun Razak mahu seluruh ekosistem sektor awam dan swasta memberi pengiktirafan dan ganjaran kepada mereka yang mampu menampilkan prestasi tinggi bagi memastikan negara mencapai matlamat induk menjadi negara maju menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata, pengiktirafan juga perlu diberikan kepada tenaga-tenaga muda berbakat, kreatif dan inovatif bagi melonjakkan tahap ekonomi ke arah negara berpendapatan tinggi.

''Inisiatif yang kita perkenalkan satu persatu ke arah memupuk nilai tambah itu, sebagai contoh pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kita hendak tukarkan kepada biasiswa kepada mereka yang mendapat ijazah kelas pertama dan biasiswa nasional kepada 30 pelajar setiap tahun.

''Begitu juga dengan Hari Inovasi, kita beri RM1 juta kepada agensi kerajaan juga satu pengiktirafan kepada prestasi tinggi dan kita kaitkan dengan nilai kreativiti dan inovatif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri antaranya Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Perdana Menteri menegaskan, sistem dalam agensi kerajaan perlu mengenal pasti syarikat-syarikat tempatan yang berpotensi untuk diberikan bantuan termasuk firma yang berinovasi.

''Dalam pameran Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMEDEC), saya dapat lihat syarikat yang berjaya itu ialah mereka yang memang telah membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam negara oleh anak-anak tempatan tetapi sistem kita kadang-kala tidak iktiraf dan memberi peluang kepada syarikat sebegini," katanya.

Dalam hal ini, Najib yang juga Menteri Kewangan memberi teguran tentang nasib syarikat tempatan yang sering kali diketepikan akibat spesifikasi tender kerajaan yang lebih menguntungkan firma antarabangsa.

Beliau menjelaskan keadaan itu berlaku kerana spesifikasi tender yang diguna pakai disediakan oleh perunding antarabangsa yang sudah tentu akan lebih bermirip kepada syarikat asing.

''Ada syarikat tempatan yang telah membangunkan satu produk yang telah ditempah oleh negara luar tetapi bila hendak masuk dalam tender sebuah agensi, dia telah diketepikan kerana dikatakan tidak mengikut spesifikasi yang disediakan oleh syarikat perunding.

''Bukan kata syarikat antarabangsa tidak baik tetapi syarikat tempatan yang berpotensi sudah awal-awal ditolak, belum masuk pertandingan sudah disingkirkan kerana spesifikasi disediakan perunding antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri mengingatkan penjawat awam agar membuat pemantauan rapi terhadap sasaran negara untuk terus mencapai pertumbuhan sebanyak enam peratus sepanjang 10 tahun akan datang.

Katanya, mereka perlu membuat analisis bagaimana sasaran itu boleh dicapai bagi memastikan ekonomi negara berada pada landasannya untuk mencapai status negara maju dengan pendapatan negara perlu mencecah AS$504 bilion (RM1,814.4 bilion) pada 2020.

''Suatu perangkaan berhubung pencapaian ekonomi sebanyak enam peratus bahawa pelaburan swasta dan kerajaan mesti mencatat tahap RM115 bilion setiap tahun, ini bererti kita sebagai perancang dan pelaksana mesti membantu sebagai pemangkin untuk memastikan sasaran itu tercapai.

''Kita mesti tentukan sumbangan sektor-sektor dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) boleh dicapai oleh negara, jadi kalau kita ingat tentang perangkaan induk ini sepanjang masa, saya percaya kita boleh tingkatkan peranan kita sebagai perancang dan pelaksana, macam mana sekali pun kita mesti menjadikan ini berlaku," katanya.

Khamis, 1 Julai 2010

BERITA BAIK:TAWARAN DIPLOMA UNTUK PEJAWAT SEKTOR AWAM

29 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik tawaran Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada golongan pekerja yang berminat untuk mendapatkan pengajian tinggi secara percuma ke peringkat diploma untuk semua peringkat umur.

Presiden Cuepacs Omar Osman berkata tawaran UiTM itu selaras dengan hasrat kerajaan menerusi Model Baru Ekonomi (MEB) bagi meningkatkan pendapatan golongan pekerja.

"Ini satu peluang kepada kakitangan awam lebih-lebih lagi bagi menyahut cabaran untuk semua pekerja lebih bermaklumat dan berilmu dalam meningkatkan produktiviti mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Perwakilan TriTahunan Cuepacs Negeri Melaka di sini hari Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Mohamed Khalid Nordin bahawa pengajian secara percuma akan ditawarkan kepada pekerja yang berminat tetapi tidak berkemampuan untuk mengikuti program jarak jauh dan luar kampus di semua kampus UiTM tidak lama lagi.

Menurut Khalid tawaran itu merupakan satu tanggungjawab sosial UiTM yang diusahakan sendiri oleh universiti itu melalui program " Mengubah Destini Anak Bangsa".

Omar berkata Cuepacs berhasrat bersama-sama kerajaan menerusi Model Baru Ekonomi untuk gaji kakitangan awam ditingkatkan dua kali ganda daripada sekarang dengan peningkatan produktiviti serta berinovatif dan berinovasi.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Cuepacs berpandangan Program Transformasi Kerajaan perlu selaras dengan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bagi kakitangan kerajaan dalam kenaikan pangkat.

" Kita nak tengok model PTK kerajaan selaras dengan penilaian PTK ke arah melahirkan pekerja yang berkemahiran dalam institusi perkhidmatan awam," katanya.

Beliau berkata adalah penting kakitangan kerajaan yang lulus PTK terdiri daripada pekerja yang berkemahiran dan bukannya golongan mereka yang hanya pandai membaca buku dan lulus PTK tetapi tidak meningkatkan produktiviti.