Ahad, 18 Mei 2014

SEMINAR DAN SAMBUTAN HARI PEKERJA PENJAWAT AWAM NEGERI PERAK

SEMINAR DAN SAMBUTAN HARI PEKERJA PENJAWAT AWAM NEGERI PERAK

Dengan hormatnya CUEPACS Perak memjemput SEMUA penjawat awam Negeri Perak untuk Hadir seperti berikut :

Tarikh : 22 MEI 2014 ( KHAMIS )
Masa : 8.00 PAGI
Tempat : DEWAN BANDARAN IPOH ( TOWN HALL )

VVIP YANG DIRAIKAN Y BHG DATO HAJI OMAR BIN OSMAN

Sabtu, 19 April 2014

LEBIH 1,000 PENJAWAT AWAM BAKAL MILIKI RUMAH SENDIRI DI BAWAH PROGRAM PPA1M

Bernama
15/4/2014
 

PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) -- Sejumlah 1,167 penjawat awam bakal menerima unit pangsapuri masing-masing di Putrajaya di bawah program Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) seperti yang diumumkan kerajaan pada Januari tahun lepas.

Mereka yang terpilih pada cabutan undian kali ini yang dilakukan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan ditempatkan di Pangsapuri Jintan di Presint 16 dan Pangsapuri Melinjau di Presint 11, di sini.

Tengku Adnan berkata jumlah cabutan kali ini merupakan siri ketiga dalam Fasa 1 yang menetapkan pembinaan sebanyak 10,639 unit perumahan di Putrajaya dalam jangka masa lima tahun bermula tahun ini.

"Sebelum ini dalam cabutan siri satu dan dua sebanyak 2,323 penjawat awam telah memperolehi rumah sendiri, selepas ini masih terdapat (kira-kira) 7,140 kekosongan rumah," katanya dalam sidang media selepas majlis cabutan itu di sini hari ini.

Beliau yakin dengan adanya pertambahan unit rumah serta yang bakal dibangunkan akan menjadikan jumlah sasaran penduduk di sini akan meningkat secara keseluruhannya kepada 160,000 dalam masa lima tahun.

Tengku Adnan berkata selain rumah untuk penjawat awam, perbincangan sedang dilakukan antara kerajaan dengan Putrajaya Holding supaya tanah yang kosong diserahkan semula kepada Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk pembangunan projek perumahan.

"PPj akan menjadi pemaju untuk membangunkan enam atau tujuh ribu lagi unit rumah yang mampu dimiliki oleh bukan penjawat awam dalam memastikan sasaran kewujudan 20,000 unit rumah di Putrajaya dalam masa lima tahun akan tercapai," katanya.

Sementara itu, beliau berkata bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 10,000 daripada 50,000 unit rumah mampu milik yang bakal dibangunkan akan diperuntukkan kepada penjawat awam.

Di Wilayah Persekutuan Labuan sejumlah 10,000 unit rumah akan dibina dan setakat ini 1,600 telah dibina dan pembinaan 500 unit lagi akan dipercepatkan, katanya.

--BERNAMA

Jumaat, 21 Mac 2014

PEJAWAT AWAM DIINGATKAN TIDAK SEBAR MAKLUMAT TIDAK TEPAT MENGENAI MH370

Bernama
19/3/2014


KLUANG, 18 Mac (Bernama) -- Penjawat awam di negara ini diingatkan agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak tepat berkaitan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata arahan sudah dikeluarkan pihaknya terhadap kira-kira 1.4 penjawat awam supaya mereka tidak terlibat dalam sebarang penyebaran atau spekulasi berhubung penerbangan MH370 berkenaan.

"Banyak pihak terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga sudah berkali-kali mengingatkan hal ini. Jadi, saya mahu penjawat awam menjadi benteng pertahanan negara dengan tidak menjadi 'api dalam sekam' atau 'gunting dalam lipatan'," katanya.

Mohamad Zabidi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Wacana Transformasi Kepimpinan Muda di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Selatan, di sini Selasa.

Beliau berkata sebagai pemimpin masa hadapan, penjawat awam terutama golongan muda mesti berpegang teguh terhadap kesetiaan kepada negara lebih-lebih ketika pelbagai dugaan menimpa negara, seperti kemarau dan jerebu.

Mengenai wacana terbabit, beliau berkata program pembentangan kertas kerja yang turut melibatkan pihak swasta, komuniti setempat serta badan bukan kerajaan itu dapat 'merakyatkan perkhidmatan awam'.

Beliau berkata program itu yang sudah diadakan di INTAN Bukit Kiara, Kuala Lumpur akan diteruskan di kampus INTAN Wilayah Utara di Sungai Petani, Kedah; kampus INTAN Wilayah Timur di Kemaman, Terengganu, kampus INTAN Kota Kinabalu, Sabah serta kampus INTAN Kota Samarahan, Sarawak.

"Menerusi program wacana ini, kita bawa ikon belia yang berjaya dalam bidang masing-masing bagi berkongsi kisah dan kejayaan mereka. Kita juga mahu menarik golongan muda khususnya generasi X dan Y bersama-sama membicarakan tentang dasar-dasar kerajaan pada masa kini dan akan datang," katanya.

-- BERNAMA

Khamis, 20 Februari 2014

CUEPACS bantah penswastaan pengurusan sisa pepejal

IPOH: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membantah cadangan penswastaan pengurusan sisa pepejal Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Perak dan berpendapat akta yang berkaitan tidak perlu wujudkan.

Presidennya, Azih Muda, berkata ia bagi mengelak kira-kira 2,000 penjawat awam yang berkhidmat di bawah PBT mengalami masalah yang sama seperti di Kedah dan Perlis berikutan penswastaan itu. 
"Penjawat awam sangat diperlukan dalam perkhidmatan PBT. Sekiranya mereka beralih kepada swasta, bukan saja pekerjaan mereka terancam malah nasib yang sama akan dirasai seperti rakan kita yang berpindah ke syarikat konsesi. Saya fikir sebulan atau dua bulan mereka akan dibuang kerja. 


"Seperti di Selangor, pekerja dalam perkhidmatan PBT dipindahkan kepada Alam Flora yang mana pengurusannya diambil alih oleh kerajaan Selangor, pekerja ini tidak boleh kembali kepada PBT," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bersama penjawat awam dari 15 PBT di Perak, hari ini.

Beliau berkata, CUEPACS menyokong pendirian Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang masih belum menandatangani persetujuan untuk menerima konsesi yang akan mengambil alih pengurusan itu.

Azih berkata, sekiranya penswastaan berlaku, penjawat awam seharusnya tidak diberhentikan perkhidmatan mereka sebaliknya dipindahkan ke Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Sepatutnya kita perlu bantu rakyat negara ini untuk mendapatkan pekerjaan. Kita lihat hari ini pekerja di syarikat konsesi adalah warga asing dari Nepal, Bangladesh dan Myanmar," katanya. 
Beliau berkata, pihaknya yakin PBT mampu mengurus sisa-sisa pepejal sebaik mungkin tanpa dirujuk kepada penswastaan.

"Jika ada peruntukan, kerajaan perlu salurkan kepada PBT kerana mereka boleh buat lebih baik daripada syarikat konsesi," katanya.

Beliau berkata, CUEPACS akan memaklumkan bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh terdekat.

"Saya yakin perdana menteri amat prihatin dan peka terhadap kesusahan pekerja dan dapat mempertimbangkan perkara itu dan kita juga berharap menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan tidak memberi tekanan kepada kerajaan negeri supaya penswastaan ini berlaku," katanya. - BERNAMA