Isnin, 12 Disember 2011

TAKLIMAT DAN PENERANGAN TENTANG SBPA OLEH TUAN PRESIDEN CUEPACS MALAYSIA DATO' HJ. OMAR BIN OSMAN




TARIKH : 13.12.2011
HARI : SELASA
JAM : 2.30 PETANG
TEMPAT : BANGUNAN DEWAN BANDARAYA IPOH ( BERHAMPIRAN IPOH PARADE )

PERKARA ; Isu-isu semasa SBPA.


Dijemput semua Penjawat Awam hadir.

Selasa, 1 November 2011

SPBA

SPBA PERKENAL DASAR KELUAR BAGI PENJAWAT AWAM

Bernama
26/10/2011


KUCHING, 25 Okt (Bernama) -- Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dilaksanakan mulai tahun depan bakal menguatkuasakan "dasar keluar" bagi penjawat awam yang berprestasi rendah atau yang ingin bertukar ke agensi lain termasuk swasta.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata buat permulaan dasar itu melibatkan penjawat awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan penilaian dibuat berdasarkan laporan prestasi tahunan serta Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) penjawat awam berkenaan.

Kumpulan Pengurusan dan Profesional melibatkan penjawat awam Gred 41 ke atas.

"Ia bagus kerana di bawah dasar baru tersebut penjawat awam tidak akan hilang status pencen serta faedah lain yang layak diterima," katanya kepada Bernama selepas taklimat isu semasa Cuepacs untuk ketua-ketua jabatan dan penjawat awam negeri ini di Bangunan Sultan Iskandar Selasa.

Omar berkata berbeza dengan Skim Saraan Malaysia (SSM) pada masa ini yang membenarkan penjawat awam untuk pencen awal pada umur 40 tahun, SBPA membenarkan penjawat awam berbuat demikian lebih awal tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang akan ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Katanya dasar baru itu memberi ruang kepada penjawat awam untuk bertukar kerjaya sama ada berkhidmat di agensi lain seperti Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atau swasta yang sedia ada sekarang.

"Dasar ini bagus kerana mungkin penjawat awam tersebut boleh meningkatkan produktiviti di sektor lain yang dirasakan sesuai untuk mereka," katanya.

Mengenai tarikh pelaksanaan SBPA, Omar berkata Cuepacs memohon kepada kerajaan sistem itu dikuatkuasakan serentak dengan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (Prospek) bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bermula 1 Januari 2012 namun tarikh pelaksanaan sebenar belum dipastikan kerana Cuepacs akan bertemu JPA pada 1 Nov ini untuk perbincangan dan taklimat lanjut SBPA.

Terdahulu semasa sesi taklimat, beliau berkata dua komponen Prospek bakal diperkenalkan iaitu Penilaian Khas Kompetensi (PKK) dan Program Pembangunan Potensi (PBR) melibatkan gred 17 ke atas manakala gred 16 ke bawah hanya memerlukan penjawat awam kategori berkenaan menghadiri kursus selama tujuh hari.

Katanya tiada langsung peperiksaan dan PKK akan dinilai oleh penyelia atau ketua jabatan manakala PBR dikendalikan bersama dengan wakil daripada Cuepacs.

Beliau memberi jaminan penjawat awam yang layak mengikuti PBR dinaikkan pangkat secara automatik kerana mereka hanya akan dipanggil mengikuti kursus PBR berdasarkan kekosongan jawatan.

"Sebagai contoh, jika ada 30 jawatan kosong maka 30 calon akan dipanggil mengikuti PBR dan bukan seperti amalan sedia ada sekiranya ada tiga jawatan kosong maka lebih 10 atau 20 dipanggil untuk temuduga atau menduduki peperiksaan walaupun yang diisi hanya tiga sahaja. Ini membuang masa dan merugikan wang kerajaan," katanya.

Omar berkata di bawah SBPA, Kumpulan Sokongan 1 dan 2 akan dikenali sebagai Kumpulan Pegawai Pelaksana 1 dan 2 selaras dengan tugas-tugas tambahan yang bakal dilakukan selain daripada tugas hakiki sekarang.

Khamis, 29 September 2011

MAJLIS MESRA HARI RAYA DAN SAMBUTAN KEMERDEKAAN, CUEPACS PERAK 2011


Ucapan Pengerusi Cuepacs Negeri Perak En. Abdul Jalil Bin Yang



Majlis Mesra Jamuan Hari Raya Aidilfitri 1432H dan sambutan Hari Kemerdekaan ke 54 ini berlangsung di Wisma Kastam Negeri Perak pada 28.9.2011 jam 8.00 malam. Semua ahli gabungan Cuepacs Negeri Perak telah hadir di Majlis ini. Berbagai-bagai juadah di sediakan untuk tetamu yang hadir.

Khamis, 25 Ogos 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI: UCAPAN PENGERUSI CUEPACS PERAK

Assalamu’alaikum W.B.T

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi Ramadhan tahun ini akan melabuhkan tirainya dan saya selaku Pengerusi CUEPACS Bahagian Perak dan seluruh Jawatankuasa CUEPACS Bahagian Perak mengucapakan Selamat Menyambut Hari Raya AIDILFITRI

Saya serta Ahli Jawtankuasa CUEPACS Bahagian mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh Penjawat Awam tanpa mengira di mana mereka berada.

Mudah-mudahan sambutan Hari Raya pada tahun ini benar-benar bermakna kepada kita semua, terutamanya bagi mereka yang dapat menyempurnakan ibadah puasa dengan jayanya.

Kita patut bersyukur kerana dapat merayakan saat kejayaan ini dalam suasana aman dan damai tanpa adanya peperangan, kelaparan, ketakutan dan kesedihan.

Keadaan ini berbeza sekali dengan nasib sesetengah umat Islam di negara-negara lain yang merayakan Hari Raya ini dalam serba kekurangan. Sesetengah mereka berhari raya dalam ketakutan kerana peperangan. Sesetengahnya pula berhari raya dalam kesedihan kerana kemiskinan atau ditimpa bencana alam.

Suasana ini tidak berlaku di negara kita. Al-hamdulillah. Semuanya berhari raya dalam suasana gembira dan ceria. Tidak ada rakyat Malaysia yang dilaporkan berhari raya dalam keadaan ketakutan. Tidak ada rakyat Malaysia yang diberitakan terpaksa mengemis untuk membuat persediaan menyambut Hari Raya.

Juga tidak kedengaran rakyat Malaysia yang tidak dapat merayakan hari bertuah ini kerana ketiadaan perbelanjaan dan wang ringgit. Boleh dikatakan kebanyakan kita adalah berkemampuan.

Oleh kerana itu, kita patut bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan bumi Malaysia ini dengan segala kemakmuran, kekayaan alam semula jadi dan keamanan penduduknya. Justeru, kita perlu mengekalkan suasana yang sedia ada. Semua ini penting bagi menjamin negara kita terus makmur dan mendapat keredhaan Allah

Di kesempatan ini saya juga memohon kemaafan bagi pihak CUEPACS Bahagian di atas kesalahan dan kekurangan yang mungkin berlaku sepanjang melaksanakan tanggungjawab,menguruskan CUEPACS Bahagian . Maaf zahir dan batin.

Saya bersyukur kerana diberikan ruang ini untuk sama-sama kita mengingati antara satu sama lain. Kepada sahabat-sahabat yang pulang ke kampung, berhati-hati ketika memandu.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri



Jumaat, 19 Ogos 2011

PENJAWAT AWAM:BERHEMAHLAH DALAM PERBELANJAAN

PENGUMUMAN pemberian bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada penjawat awam tentunya disambut dengan perasaan gembira oleh semua kakitangan kerajaan. Selain itu, kerajaan juga akan membuat Bayaran Khas Kewangan kepada semua pesara kerajaan.

Bonus dan bayaran khas yang akan dikreditkan pertengahan bulan ini, tepat pada masanya bagi membantu 1.27 juta penjawat awam Persekutuan dan 590,000 pesara kerajaan khususnya beragama Islam membuat persediaan menyambut Aidilfitri.

Pemberian berkenaan, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah bagi menghargai sumbangan dan dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara. Diharapkan semua penerima tidak lupa bersyukur di atas rezeki yang diterima dan dapat diterjemahkan dengan tekad untuk berkhidmat lebih gigih agar produktiviti jabatan masing-masing dapat dipertingkat.

Peningkatan produktiviti ini seterusnya bermakna hasil kerajaan akan bertambah, dan peluang untuk mendapat bonus selanjutnya pada masa depan menjadi lebih cerah. Di samping itu, penerimanya tidak harus membazir dengan berbelanja melebihi kemampuan masing-masing, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang. Perbelanjaan tidak berhemah akan hanya membawa kepada kenaikan harga barangan berikutan peningkatan permintaan mendadak dan ini seterusnya akan bermakna wang bonus itu hanya dapat dimanfaatkan oleh golongan peniaga semata-mata.

Kerajaan memperuntukkan RM2 bilion untuk melaksanakan pembayaran bonus dan bayaran khas itu. Walau apa sekali pun, pemberian bonus dan bayaran khas itu sekali lagi membuktikan kerajaan sentiasa peka terhadap nasib penjawat awam dan pesara kerajaan khususnya, serta rakyat secara amnya yang sudah tentu terpaksa menyediakan perbelanjaan tambahan menjelang Aidilfitri. Namun, kita berharap hasrat murni kerajaan untuk meringankan beban penjawat awam dan pesara ini tidak dinafikan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab dengan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara melampau.


Sikap tamak haloba segelintir peniaga ini banyak kelihatan pada Ramadan ini yang menyaksikan kenaikan harga juadah berbuka puasa seperti kuih muih yang kini dijual lebih mahal berbanding sebelumnya. Keadaan ini tidak akan berlaku jika pengguna lebih berhemah dan bijak dengan membeli barang yang perlu saja. Dalam pada kakitangan awam menikmati bonus hari raya, mereka yang bertugas dalam sektor swasta turut menaruh harapan untuk mendapat imbuhan sama.

Perkara ini sebenarnya di luar pertimbangan kerajaan, sebaliknya terletak kepada keputusan majikan masing-masing. Namun, demi meringankan beban kewangan pekerja, kita berpendapat ada baiknya majikan sektor swasta memikirkan kaedah untuk membayar sebahagian bonus tahunan pekerjanya pada musim hari raya.

Selasa, 16 Ogos 2011

KAJIAN SEMULA PEMBERIAN BIASISWA HARAP TELUS DAN TERBUKA

BARU-BARU ini penulis menerima panggilan telefon daripada seorang kenalan yang juga pemimpin sebuah parti politik di peringkat cawangan. Beliau bukanlah “VIP” penting dalam parti tersebut tetapi seorang pemimpin di peringkat akar umbi yang amat aktif sekali.

Nadanya tersedu-sedu dan sebak seketika sebelum beliau meneruskan perbualannya dengan penulis mengenai masa depan anaknya yang gagal mendapat sebarang biasiswa walaupun memperolehi 7A dalam peperiksaan SPM 2010.

Beliau bekerja sebagai kerani di sebuah jabatan kerajaan manakala isterinya hanyalah seorang suri rumahtangga. Kedua–dua anak kembarnya mendapat 7A dalam peperiksaan SPM, tetapi gagal memperolehi sebarang biasiswa kerajaan mahupun program matrikulasi.

Katanya, dia telah berjumpa dengan semua pemimpin untuk mendapat sokongan, rayuan dan bantuan tetapi segala percubaan serta permohonannya menerima jawapan “dukacita dimaklumkan permohonan anda gagal”.

Sungguhpun begitu semangatnya tidak luntur sama sekali. Dia cuba melakukan yang terbaik demi masa depan anak-anaknya.Dia membuat keputusan untuk menghantar anaknya ke sebuah universiti swasta bagi mengikuti program A-Level tetapi sekali lagi hasrat dan niatnya itu tercabar dan bertambah sukar kerana kosnya terlalu tinggi.

Dia terpaksa meminta tolong daripada kawan–kawan,pemimpin politik dan saudara mara untuk meminjam wang setakat mana yang boleh tetapi segala percubaannya sekali lagi tidak tercapai.

Ketika di saat itulah dia terfikir betapa pentingnya simpanan wang dapat menjamin masa depan anak-anak tanpa bergantung pada mana–mana pihak.

“Saya tak perlu tadah tangan kepada sesiapa sekiranya saya ada simpanan sendiri...,” katanya kepada penulis.

Penulis dapat menyelami perasaan dan bisikan hati seorang bapa yang terpaksa menanggung pelbagai rintangan, cabaran dan pengorbanan dalam misinya mengejar ilmu demi masa depan anak-anaknya.

Begitulah serba sedikit cerita tentang kenalan penulis itu yang berkisar mengenai isu biasiswa dan betapa pentingnya kuasa “Ringgit Malaysia” dalam menentukan masa depan seseorang individu dalam bidang pendidikan pada zaman ini.

“Yang kaya tu tak kisahlah, mereka mampu menghantar anak mereka sampai ke luar negara tetapi bagi kumpulan dan golongan yang miskin serta berpendapatan rendah pula macam mana? Sudah tentulah mereka mengharapkan biasiswa kerajaan ataupun swasta,” begitulah intipati kandungan emel yang diterima oleh penulis daripada seorang rakan dari Ipoh baru–baru ini.

Persoalannya, apakah faktor kekayaan dan kemiskinan yang dapat menentukan hala tuju serta nasib seseorang pelajar? Pastinya ibubapa perlu pandai merancang masa depan anak–anak mereka sejak kecil lagi. Pada masa yang sama, setiap pelajar yang cemerlang yang “berhak” menerima bantuan harus dibantu tanpa mengira status mereka.

Bercakap mengenai isu tersebut, kerajaan memang sudah menyatakan kriteria–kriteria yang tertentu mengenai pemberian biasiswa JPA kepada para pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang iaitu hanya kepada mereka yang memperolehi 8A+ ke atas.

Bagaimanapun, yang menjadi rungutan pelajar ialah mereka ditawarkan jurusan yang bukan menjadi pilihan utama mereka atau sepadan dengan keputusan mereka.

Disebabkan karenah tersebutlah ada segelintir pelajar dan ibubapa terpaksa mencari ruang di media massa untuk melontorkan bisikan hati mereka. Ada pula dikalangan mereka terpaksa merayu kepada parti–parti politik yang mewakili kaum mereka disebabkan tidak mampu lagi menghadapi tekanan emosi dan mental.

Terdapat satu kes seorang pelajar keturunan India yang mendapat 12A+ ditawarkan jurusan Sains Veterinar. Pelajar tersebut yang berasal dari keluarga yang miskin akhirnya tiada pilihan dan terpaksa merayu kepada Presiden MIC, Datuk G. Palanivel bagi membantunya menyelesaikan isu tersebut.

Berkat usaha presiden MIC itu, pelajar berkenaan akhirnya ditawarkan biasiswa penuh dalam jurusan perubatan di sebuah universti swasta dalam negara dan bukannya luar negara walaupun pelajar tersebut pernah menerima beberapa anugerah cemerlang sebagai pelajar terbaik SPM 2010 namun nasibnya tidak menyinar sepertimana keputusannya mendapat 12A+.

Isu–isu seperti inilah yang menyebabkan reputasi JPA dan kerajaan tercalar.

Pada masa yang sama, jangan pula kita pandai-pandai mahu menuduh sistem pendidikan negara sebagai kononnya “kurang standard” sekiranya ramai dikalangan para pelajar mampu meraih 6A, 7A, 8A 9A ataupun 12A.

Mungkin kerajaan perlu menilai semula sistem gred yang melibatkan “plus dan minus” disebabkan banyak sangat kekeliruan dalam membezakan sesuatu gred. Ada yang tetap mempertahankan A tetap A dan apalah ada pada “plus dan minus” ini?

Apa pun berikanlah suntikan semangat, sokongan, kerjasama dan bantuan kepada mereka supaya dapat mendakap kecemerlangan di peringkat pengajian tinggi dalam jurusan pilihan mereka mengikut prestasi masing–masing.

Isu biasiswa ini sudah menjadi semakin kritikal dan kontroversi malah sudah disensasikan sehingga dipolitikkan setiap kali keputusan SPM diumumkan sejak kebelakangan ini. Malah isu–isu seperti ini perlu dibendung segera kerana pendidikan merupakan satu perkara yang amat sensitif kepada masyarakat. Sepertimana yang termaktub dalam gagasan 1 Malaysia iaitu menjamin kesaksamaan akses kepada pendidikan yang berkualiti dan mampu diperolehi semua warga Malaysia untuk semua peringkat pendidikan terutama bagi penduduk luar bandar. Kita harap pihak–pihak yang terbabit dapat menjadikan panduan tersebut sebagai satu “pegangan” kuat untuk merealisasikan harapan rakyat.

Berikanlah keutamaan kepada semua pelajar yang mendapat keputusan cemerlang khususnya yang mendapat 6A+ dan 7A+ yang datang dari keluarga misikin tegar serta berpendapatan rendah dari kawasan luar bandar seperti dari estet, rumah panjang dan kampung. Ini kerana kumpulan seperti ini “tidak mampu” menyara kos pengajian anak-anak mereka disebabkan masalah kemiskinan dan tidak memiliki banyak kemudahan yang lain sepertimana di bandar.

Kita tidak boleh membiarkan kumpulan tersebut tercicir begitu sahaja disebabkan gagal memenuhi kriteria 8A+. Mutu dan prestasi mereka mungkin lebih terserlah sekiranya mereka diberikan bantuan yang sewajarnya sehingga menjadi insan yang terbilang.

Mungkin pihak kerajaan dan agensi yang terbabit dapat membentuk satu “pangkalan data” berkaitan dengan para pelajar yang cemerlang termasuk yang mendapat 8A, 7A dan 6A serta memantau prestasi masing–masing dari semasa ke semasa sehingga mereka berjaya mendapat ijazah masing–masing.

Dalam konteks ini, ramai pihak yang menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru–baru ini menyatakan mulai tahun depan polisi sedia ada dalam pemberian biasiswa JPA kepada pelajar cemerlang akan dikaji semula secara menyeluruh.

Kita sama–sama berharap kajian tersebut akan dilakukan secara terbuka dan terperinci demi masa depan semua pelajar 1 Malaysia.

TAZKIRAH RAMADHAN: SIFAT-SIFAT MAZMUMAH

Menurut Imam Al-Ghazali, antara sifat-sifat Mazmumah pula ialah ;

Gemar Makan dan Minum

Terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Nabi SAW: Maksudnya: "Yang terlebih afdal (utama) pada Allah itu ialah orang yang banyak berlapar dan banyak tafakur (berfikir sambil meneliti) . Dan yang terlebih benci kepada Allah itu ialah orang yang banyak makan, banyak tidur dan banyak minum.

Biasanya mereka yang selalu kekenyangan akibat gemar makan dan minum akan terhindar daripada melakukan ibadah kerana sentiasa terdorong untuk tidur dan beristirahat.

Selasa, 9 Ogos 2011

PENGERUSI CUEPACS PERAK MENYAMBUT BAIK PEMBERIAN BONUS KEPADA PENJAWAT AWAM


Pengerusi Cuepacs Bahagian Perak Sdr Abdul Jalil b Hj Yang menyatakan syukur kepada ALLAH SWT serta menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Kewangan kerana bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam serta memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

Beliau juga berkata , pemberian bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan Penjawat Awam bagi menyediakan keperluan sambutan Hari Raya AdilFitri dan dalam pada itu beliau juga menasihatkan agar semua Penjawat Awam harus berjimat cermat dalam menguruskan perbelanjaan.


Bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam yang selama ini menjadi tulang belakang serta nadi kepada Kerajaan.

Walaupun begitu, beliau juga mengharapkan seperti yang dinyatakan Cuepacs Kebangsaan supaya Kerajaan dapat mempertimbagkan semula 2 bulan bonus kerana sudah dua tahun penjawat awam tidak mendapat bonus sejak 2008 dan adalah diharapkan tahun ini kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus tersebut sebelum dan selepas Hari Raya bagi mengurangkan beban kewangan.

CUEPACS MASIH MENGHARAPKAN 2 BULAN

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sekali lagi meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada penjawat awam tahun ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berharap kerajaan dapat menyediakan bonus sebulan sebelum sambutan Hari Raya dan sebulan bonus selepas sambutan perayaan itu.

Beliau berkata Cuepacs telah memohon secara rasmi melalui surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dua bulan lepas dan mengharapkan berita baik itu diumumkan tidak lama lagi.

"Sudah dua tahun penjawat awam tidak mendapat bonus sejak 2008 dan adalah diharapkan tahun ini kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus tersebut sebelum dan selepas Hari Raya bagi mengurangkan beban kewangan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Sebelum ini, Cuepacs beberapa kali telah membuat permohonan kepada kerajaan agar mempertimbangan pemberian bonus tersebut selepas Cuepacs sendiri menerima banyak permintaan dari penjawat awam agar mereka mendapat bonus.

Beliau juga berkata pemberian bonus bukan setakat sehingga gred 54 sahaja tetapi kepada keseluruhan penjawat awam.

Bagaimanapun, ia terserah kepada kebijaksanaan dan kemampuan kerajaan untuk memutuskannya dan Cuepacs berharap agar ia dapat dipertimbangkan memandangkan keadaan ekonomi negara yang semakin menyakinkan.

Sementara itu, Cuepacs berhasrat untuk mengadakan perbincangan bersama kerajaan mengenai Skim Pencen Bercarum (SPB) yang dijangka akan dilaksanakan tahun depan.

Beliau berkata walaupun Cuepacs sebulat suara menolak pelaksanaan skim itu, mereka tetap bersedia untuk berbincang dengan harapan kerajaan dapat menawarkan penambahbaikan yang mampu memberi kebaikan kepada keseluruhan penjawat awam.

"Perbincangan ini untuk kerajaan mendengar apa sebenarnya pandangan Cuepacs, kenapa Cuepacs menolak SPB," katanya.

Cuepacs sebagai badan tertinggi yang mewakili sektor awam tetap dan berpencen mendakwa bahawa skim itu tidak menguntungkan terutamanya kepada generasi baru sektor awam.

BANTUAN KHAS ATAU BONUS ?

Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam bulan ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.


"Bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini," kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan semalam.

Khamis, 4 Ogos 2011

KENAIKAN GAJI PENJAWAT AWAM- APA PENDAPAT ANDA ?

Diberitakan bahawa kakitangan awam bakal menerima kenaikan gaji tahun ini.Sudah pasti ramai kakitangan awam yang tersenyum-simpul mendengar tentang ura-ura kenaikan gaji pada tahun ini.Dengan kos taraf hidup yang semakin meningkat, kenaikan gaji kakitangan awamini dapat dilihat secara positif untuk membantu meringankan bebanan kakitangan awam yang bergaji rendah.

"Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan melakukan pelarasan gaji tahun ini, berikutan kenaikan harga barangan yang semakin membebankan penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kenaikan harga barang itu menyebabkan perbelanjaan penjawat awam bertambah lebih RM500 setiap bulan sedangkan pendapatan bulanan tidak berubah.

Penyelarasan yang boleh dibuat dengan mengambil kira purata perbelanjaan tambahan penjawat awam itu sekurang-kurangnya boleh meringankan beban mereka, kata Omar kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan mesyuarat agung Kesatuan Pembantu Tadbir Pelajaran (Keptan) Perlis, berkata, Cuepacs juga mencadangkan agar bantuan sara hidup (Cola) semua penjawat awam diselaraskan kepada RM300 sebulan.

Ini kerana katanya, kos sara hidup di luar bandar juga semakin meningkat seperti di bandar.

Omar berkata, Cuepacs juga mencadangkan elaun tetap perumahan untuk penjawat awam yang bergred 40 dan ke bawah dinaikkan kepada RM350 sebulan berbanding RM180 sekarang.

“Mana ada rumah yang boleh disewa RM180 sebulan di kawasan bandar malah di luar bandar juga sewa rumah telah meningkat,” katanya. — Bernama"


Pendapat kami, sememangnya wajar kenaikan diberi kepada kakitangan awam.Tetapi, kami lebih berpendapat, kenaikan itu bukan diberi kepada gaji, tetapi kepada elaun yang diterima.Ini bagi kami lebih baik.Rata-rata kakitangan awam, yang baru mula bekerja sudahpun melepasi tahap gaji minimum yang dicadangkan oleh kerajaan iaitu RM 700.

Tetapi, tentang elaun, itu sememangnya boleh dipertimbangkan.Elaun seperti Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), dan elaun COLA, sepatutnya boleh diselaraskan. Rata-rata rumah sekarang yang berharga dalam lingkungan RM 100,000, bayaran bulanannya sahaja adalah RM 600++ sebulan. Itupun bergantung kepada negeri.Kalau yang tinggal di bandar-bandar besar, rumah RM 100k itu pun belum tentu lagi selesa.

Jadi, elaun ITP memang perlukan pelarasan yang lebih baik.Cadangan kami minimum adalah RM 300, bermula dari Gred 1-17.Ini akan mengurangkan sedikit sebanyak beban yang dihadapi oleh kakitangan awam yang bergaji rendah.Begitu juga dengan COLA, ianya tidak adil hanya memberikan autoriti kepada penjawat-penjawat awam di bandar besar sahaja.

Kenaikan kos hidup dan makanan, tidak termaktub hanya kepada sesebuah negeri.Seluruh rakyat Malaysia terasa bahangnya apabila kos hidup meningkat.Macam kakitangan awam Johor, mendapat elaun COLA RM 300 sebulan.kalau dibandar besar, seperti Johor Bahru dan sebagainya, tidak mengapa, tetapi kalau yang tinggal di Muar, adakah kos hidup mereka sama seperti kakitangan awam yang tinggal di Johor Bahru?

Bagaimana pula kakitangan awam yang tinggal di Melaka?Rasanya kos hidup di Melaka sudahpun melebihi kos hidup kakitangan awam di Muar.Namun, elaun COLA yang diterima hanyalah RM 200.Adakah ianya adil? Oleh sebab itu, ada 2 cara yang baik untuk diadaptasi oleh kerajaan dalam pemberian elaun COLA iaitu:

  • Elaun COLA mengikut Daerah, bukan lagi mengikut Negeri
  • Selaraskan elaun COLA secara samarata kepada semua kakitangan awam di semua negeri

Ini bagi kami, lebih baik.Bagitupun, hanya kerajaan yang memerintah sahaja yang dapat membuat keputusan mengenai kenaikan gaji kakitangan awam ini.


Walaupun khabar angin mengenai kenaikan gaji ini sudah pun bertiup kencang, ianya tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tiada pengumuman yang dibuat oleh kerajaan.

Apa pendapat anda mengenai kenaikan gaji kakitangan awam ini?

PEMBAHARUAN IMEJ PENJAWAT AWAM

Mutu kerja para penjawat awam di negara meningkat dengan ketara sejak 2004 melalui pelbagai pendekatan yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun, pembaharuan masih perlu dilaksanakan terhadap imej penjawat awam yang dibelenggu stigma yang tidak baik.

Ia boleh dilihat apabila surat yang mengadu mengenai perkhidmatan awam semakin berkurangan, malah sudah banyak surat dihantar oleh orang ramai yang memuji perkhidmatan yang diberikan.

"Tetapi kita masih menghadapi masalah mengenai imej kakitangan awam yang menimbulkan persepsi tidak baik di mata orang ramai.

"Kita perlu mengurus persepsi ini supaya ia tidak terus membelenggu perkhidmatan awam di negara ini.


Rabu, 3 Ogos 2011

PERINGATAN DARIPADA JABATAN KASTAM DiRAJA MALAYSIA


1. Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ingin memaklumkan kepada orang awam mengenai penipuan menggunakan nama Jabatan Kastam Diraja Malaysia oleh pihak yang tidak bertanggunjawab. Modus operandi yang kerap dilakukan ialah melalui penipuan dengan menggunakan nama Ketua Pengarah Kastam, penyamaran sebagai pegawai kastam, penggunaan logo dan kad kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan akhir-akhir ini penipuan di dalam internet dengan mengaitkan penglibatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

2. Walaupun hebahan telah dibuat melalui akhbar oleh Ketua Pengarah Kastam, melalui Laman Web Jabatan dan surat edaran kepada semua agensi Kerajaan, namun aktiviti negatif ini masih giat dijalankan dan ramai orang awam yang masih tertipu lagi.

3. Dengan ini Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ingin menegaskan kepada orang awam bahawa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga ataupun mana-mana agen untuk bertindak bagi pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk sebarang transaksi mahupun urusan jual-beli.

4. Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menasihatkan orang awam agar tidak mudah percaya dan berhati-hati dengan trend taktik penipuan diatas.

BERITA BAIK DARIPADA YAB TPM

Seramai 3,793 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) daripada baki 7,258 orang yang belum dilantik telah dilantik semula ke jawatan itu berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan pelantikan itu dibuat menerusi perjumpaan khas antara kementeriannya dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah dan Kementerian Kewangan pada 30 Jun lalu.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Dr. Rosli Mohamed pada 1 Julai lalu.

"Seramai 972 orang daripada kumpulan yang dilantik ini akan mengikuti latihan perguruan selama 18 bulan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mulai Disember ini.

"Seramai 2,821 yang lain akan mengikuti latihan perguruan di institut pendidikan guru (IPG) untuk sesi pengambilan Januari 2012,'' katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Pada bulan Mac lalu, kerajaan telah mengumumkan seramai 13,184 GSTT tahun 2010 akan dilantik semula bagi tahun 2011 dan berikutan itu pada Mei lalu seramai 5,926 orang telah dilantik sebagai GSTT semula dan tinggal baki seramai 7,258.

Menurut Muhyiddin, guru yang memiliki ijazah dan berkursus di IPG, mereka dijadual mengikuti latihan selama 18 bulan dan bagi yang tidak mempunyai ijazah akan mengikuti latihan untuk tempoh 66 bulan iaitu di bawah program ijazah Sarjana Muda Pendidikan.

Beliau menjelaskan, bagi baki GSTT berjumlah 3,465 orang itu, kedudukan mereka akan ditentukan kelak selepas disahkan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan.

"Daripada jumlah ini mungkin ada di antara mereka yang masih berpeluang untuk dilantik semula atau dipilih mengikuti latihan perguruan selepas selesai semakan semula ke atas maklumat mereka.

"Bagi yang dikenal pasti tidak layak untuk dilantik semula, semakan ke atas rekod mereka dan pengesahan akan dibuat sebelum akhir Ogos ini,'' kata beliau.

Timbalan Perdana Menteri seterusnya berkata, penempatan bagi mereka yang dilantik semula itu tidak akan terhad kepada lokasi, sekolah atau pilihan asal.

Katanya, penempatan akan dibuat bagi memenuhi dan menyokong pelaksanaan dasar khususnya dasar baru kementerian seperti Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).

"Kerajaan amat prihatin dengan segala keluh-kesah dan permasalahan GSTT, baik yang sering dibangkitkan di dada-dada akhbar dan media elektronik mahupun di setiap pertemuan bersama-sama guru-guru tersebut,'' kata Muhyiddin.

Selasa, 2 Ogos 2011

KAUNSELING DI TEMPAT KERJA PERLU

Kaunseling di tempat kerja perlu dijadikan mandatori berikutan isu-isu psikososial kini sudah menjadi satu isu besar di tempat kerja, kata seorang pakar kesihatan awam.

Ketua Sekolah Perubatan Klinikal Monash University Sunway Johor Baharu, Prof Dr Rusli Nordin berkata tahap kesihatan mental di Malaysia semakin buruk.

"Pekerja kini semakin tertekan dan ini membawa ke arah kerisauan, kemurungan dan juga bunuh diri," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata tekanan di tempat kerja hari ini lebih membebankan berbanding satu atau dua dekad lepas.

Dr Rusli, yang juga seorang profesor Kesihatan Awam dalam Perubatan Pekerjaan, berkata satu bengkel dua hari peringkat Asia Pasifik mengenai Faktor Psikososial anjuran fakulti berkenaan baru-baru ini mencadangkan kaunseling di tempat kerja dikawal selia di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.

"Kaunseling di tempat kerja perlu, dan sepatutnya dijadikan mandatori. Inilah sebab mengapa kita memperkenalkan kaunseling di tempat kerja sebagai sebahagian Program Bantuan Pekerja (EAP) di bawah OSHA 1994," katanya.

Terdapat 40,000 industri di negara tertakluk di bawah OSHA.

Sementara itu, Mai Sumiyatilshak, seorang pensyarah kanan dan ahli psikologi industri di Universiti Malaysia Sarawak mencadangkan satu Rangka Kerja Kurikulum Psikologi perlu diperkenalkan sebagai satu kursus psikologi di fakulti perubatan dan bukannya di fakulti sains kemanusiaan.

"Kita perlu kursus-kursus psikologi ditawarkan Ijazah Sarjana Muda Sains dan bukannya Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan kerana para pelajar perlu di latih di makmal-makmal dan mengendalikan latihan amali dengan pesakit," katanya.

Sejumlah 30 peserta dari Australia, Jepun dan Malaysia menyertai bengkel itu. - BERNAMA

Isnin, 1 Ogos 2011

UCAPAN SEMPENA RAMADHAN PENGERUSI CUEPACS PERAK


Saya secara peribadi mengambil kesempatan untuk mengucapakan selamat menyambut Ramadhan Kareen bulan yang penuh Berkah dan Maghfirah,kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Cuepacs Bahagian Perak serta semua Penjawat Awam Persekutuan dan Negeri.


Marilah kita saling memohon maaf dan saling memaafkan sebagaimana yang disunnahkan Rasulullah SAW semoga amal ibadah kita diterima Allah SWT....InsyAllah


Kita sebagai hambanya yang sering melakukan kesilapan sama ada dalam sedar atau tidak-kerana sifat manusia yang sering dilalaikan .Maka dengan hadirnya bulan mulia ini, marilah kita bersama-sama melipat-gandakan segala usaha ibadat dengan membaca Al-Quran serta mengerjakan perkara-perkara yang baik. Jauhilah perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.


Semoga Ramadhan ini Ramadhan yang terbaik untuk kita semua.




SKIM INSURAN PENHAWAT AWAM

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan melaksanakan pemberian skim insurans nyawa untuk penjawat awam yang berkhidmat di agensi penguatkuasaan undang-undang.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata ini bagi memastikan kebajikan mereka terbela sekiranya mereka ditimpa kemalangan atau mengalami kecederaan ketika menjalankan tugas mereka yang sentiasa berdepan dengan pelbagai risiko.

"Sebab itu kita minta agar kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam menimbang untuk memberikan skim insurans nyawa kepada kakitangan di agensi pelaksana penguatkuasaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen dan Pihak Berkuasa Tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar/Bengkel Kepimpinan Generasi Muda anjuran Jawatankuasa Pendidikan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Penguasa-Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) di sini, Jumaat. Turut hadir Presiden Anulae, Azih Muda.

Omar mengulas insiden seorang penguatkuasa Majlis Daerah Hulu Selangor, G. Sivarajah, 24, yang patah kaki kirinya apabila dirempuh kenderaan milik seorang penjual durian yang tiba-tiba mengamuk apabila barangan jualannya dirampas dalam operasi sita semalam.

Katanya ketika ini penjawat awam hanya mendapat pembelaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) jika mengalami kecacatan kekal ketika bertugas.

Beliau berkata Cuepacs memandang serius masalah berkenaan kerana bukan semua penjawat awam mempunyai gaji yang tinggi dan mampu membeli skim insurans nyawa untuk diri mereka.

"Ini satu pembelaan kepada kakitangan kerajaan seperti ini dan saya harap pihak kerajaan melalui JPA dan ketua jabatan masing-masing dapat bersama-sama Cuepacs untuk merealisasikan hasrat ini," katanya.

Sementara itu, katanya Cuepacs meminta JPA mengkaji semula gred jawatan pengarah agensi kerajaan di setiap negeri yang kini berbeza di mana ada antaranya berada di gred rendah dan tidak setaraf memegang jawatan yang mempunyai beban tugas tinggi itu.

"Mereka sekurang-kurangnya mesti bergred 54 iaitu JUSA C ke atas dan apa yang kita dapati ada pengarah itu bergred 48 dan terpaksa menggalas tugas yang besar," katanya.

Selain itu, Omar berkata Cuepacs mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam kerana siasatan mendapati tiada yang terbabit menyertai perhimpunan haram di ibu negara pada 9 Julai lepas.

"Ini membuktikan kakitangan kerajaan menyokong kepimpinan kerajaan yang ada dan menolak sebarang perhimpunan haram untuk menjatuhkan kerajaan sah yang dipilih melalui pilihan raya yang adil," katanya.

PENJAWAT AWAM PERLU BERHATI-HATI DENGAN PENIPU

Orang ramai diminta berwaspada dengan satu sindiket penipuan antarabangsa yang giat menjalankan kegiatan haram mereka menerusi penggunaan akaun bank milik seseorang individu.

Difahamkan, ahli sindiket yang menyamar (biasanya sebagai ahli perniagaan), begitu bijak menjalankan kegiatan mereka dengan meminta kebenaran daripada individu berkenaan berhubung penggunaan akaun peribadi mereka bagi tujuan memasukkan sejumlah wang daripada pihak ketiga yang berada di luar negara.


Seorang mangsa sindiket berkenaan, Aaron Raj, 32, berkata, ahli sindiket berkenaan bijak memperdayakan orang ramai menerusi kaedah berkenaan hingga mengakibatkan mangsa akan memberi kebenaran untuk menggunakan akaun peribadi tujuan berkenaan.

Menurutnya, setelah transaksi wang berkenaan berjaya dibuat dan wang tersebut telah pun diserahkan kepada ahli sindiket yang menyamar, individu berkenaan akan dihubungi pihak ketiga yang meminta agar sejumlah wang berkenaan dikembalikan dengan alasan transaksi berkenaan telah digodam pihak tertentu.

“Saya telah membenarkan kenalan saya yang dikenali dengan mana Patrick Wong menggunakan akaun syarikat milik saya kerana mendakwa ada pihak yang mahu memasukkan sejumlah wang kepadanya.

“Setelah urusan transaksi berkenaan yang berjumlah USD 118202.50 (RM350,432.75) berjaya dibuat, pihak bank telah menelefon saya untuk memulangkan semula wang berkenaan yang didakwa telah tersalah masuk ke akaun saya,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Aduan Barisan Nasional (BN) Ipoh Barat semalam.

Aaron berkata, dia juga telah dihubungi beberapa pihak (dipercayai dari luar negara) yang mendakwa sebagai pemilik wang berkenaan serta mendakwa wang berkenaan telah dihantar setelah akaun mereka digodam.

“Mereka juga turut menelefon serta mengugut saya tetapi apabila saya mencabar mereka untuk bersemuka mereka enggan,” katanya.

Hadir sama, Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd Ravi Abdullah.

Sehubungan itu, Aaron turut membuat laporan polis dan berharap agar pihak polis dapat bertindak segera mengesan Patrick Wong.

Katanya, dia hanya memiliki satu nombor telefon Patrick, sebelum lelaki berkenaan menghilangkan diri sehingga ke hari ini.

“Saya difahamkan pihak bank masih belum membuat laporan polis berhubung perkara ini dan sebaliknya meminta saya membayar semula jumlah wang berkenaan,” katanya.