Rabu, 29 Julai 2009

BONUS KAKITANGAN AWAM 2009

Presiden Cuepacs Malaysia

JOHOR BAHRU: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan supaya menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam, menerusi pengumuman Bajet 2010, Oktober depan. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata perbincangan mengenai bonus hanya akan diadakan pada mesyuarat tertinggi kongres itu minggu depan sebelum dikemukakan kepada kerajaan. "Pemberian bonus ini dibincangkan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Khamis lalu. Kita setuju sekiranya pemberian Elaun Sara Hidup (Cola) tidak dapat dinaikkan dalam keadaan ekonomi ketika ini, namun diharap musim perayaan nanti, kira-kira 1.2 juta penjawat awam negara ini dapat menikmati ‘duit raya’," katanya.
Omar berkata demikian pada majlis perasmian mesyuarat agung dwi tahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa Tempatan (Anulae), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini, semalam. Beliau berkata, pihaknya menerima banyak panggilan telefon dan kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) dari penjawat awam yang ingin mendapatkan perkembangan mengenai pemberian bonus selain, perkara lain yang dibangkitkan Cuepacs. Mengenai kadar pemberian bonus, beliau berkata, ia terserah kepada kerajaan kerana Cuepacs memahami keadaan kerajaan yang berdepan dengan situasi ekonomi tidak menentu.
Ketika ini, bonus penjawat awam diberi mengikut budi bicara kerajaan berdasarkan kemampuannya dan pada waktu baik penjawat awam menikmati bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000. Dalam perkembangan lain, Omar berkata, pihaknya menyambut baik enam teras Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA), bagi mencapai matlamat indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI), yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin, terutama usaha memperkasa prasarana luar bandar. Beliau berkata, Cuepacs mendapati banyak kemudahan awam seluruh daerah seperti jalan raya dan pondok polis perlu dibaik pulih serta ditingkatkan supaya matlamat menjadikan negara maju dapat dicapai. Katanya, satu pertemuan antara Cuepacs dan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut diadakan kelmarin bagi menghindar salah guna kuasa dan rasuah di kalangan penjawat awam.

SEMINAR KEPIMPINAN WANITA ABAD KE 21





Seminar Kepimpinan Wanita Abad ke 21 ini dianjurkan oleh Majlis Perundingan Wanita Islam Malaysia ( YADIM ) dengan kerjasama Cuepacs Malaysia. 60 orang peserta wanita dari Cuepacs seluruh negara telah menyertai seminar ini yang berlangsung dari 24 hingga 26 Julai 2009.

Seminar ini di adakan di Kondo Istana, Kuah , Langkawi.
Ucap Utama dan perasmian dilakukan oleh Y.Bhg Datuk Haji Mohd Nakhaie Bin Hj. Ahmad selaku Yang Dipertua YADIM.
Seminar ini juga turut disertai oleh Presiden Cuepacs Malaysia Saudara Omar Bin Osman yang menyampaikan ucapan penutup dan penyampaian sijil kepada peserta seminar.

Cuepacs Negeri Perak diwakili oleh Pengerusi Cuepacs Perak Sdr Abdul Jalil B. Yang, Naib Pengerusi Cuepacs Perak Sdr Shuhaimi B. Othman, Ketua Wanita Cuepacs Perak Sdri Rodiana Bt. Ridzuan dan AJK Cuepacs Sdri Vimaladevi A/P Krishnan.

Isnin, 27 Julai 2009


CUEPACS MAHU AMBIL ALIH FUNGSI KHIDMAT POTONGAN BULANAN

Bernama
27/7/2009



KUALA LUMPUR: Cuepacs hari ini menggesa Perbendaharaan membenarkannya mengambil alih perkhidmatan potongan bulanan bagi pinjaman sektor awam daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa). Ini bagi membolehkan kongres itu memanfaatkan komisen daripada perkhidmatan itu untuk faedah 1.2 juta kakitangan kerajaan. Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata Angkasa memperoleh kira-kira RM8.1 bilion setahun daripada segi komisen dengan menyediakan perkhidmatan potongan bagi sektor awam dan swasta.
"Daripada amaun ini, 50 peratus disumbangkan oleh kakitangan awam melalui pelbagai potongan," katanya. Angkasa mengenakan caj 2.5 peratus bagi amaun pinjaman bulanan sebagai komisen bagi perkhidmatan itu. "Apa yang kami cadangkan kepada kerajaan ialah untuk membenarkan Cuepacs mengambil alih perkhidmatan potongan bagi pinjaman kakitangan awam dan membiarkan Angkasa meneruskan perkhidmatan bagi sektor swasta.
"Jika cadangan itu diterima, ia akan membenarkan Cuepacs menjana kira-kira RM4 bilion setahun daripada perkhidmatan itu," katanya. Pendapatan itu, katanya akan disalurkan semula kepada kakitangan awam melalui sebuah yayasan dalam bentuk biasiswa, bantuan perubatan, geran dan bantuan kewangan dan material lain. "Bantuan juga akan diberikan kepada pesara kerajaan, dengan itu dapat mengurangkan beban di pihak kerajaan. "Ini akan mewujudkan keadaan saling bermanfaat, kerana kakitangan awam dan kerajaan akan mendapat faedah daripada skim ini," katanya.
Ahmad Shah berkata Angkasa tidak menyumbang "apa-apa kepada kakitangan awam," di sebalik menjana pendapatan besar daripada mereka. Beliau berkata Cuepacs mempunyai keupayaan untuk mengambil alih perkhidmatan potongan itu dan apa yang diperlukannya ialah sedikit bantuan di peringkat permulaan daripada kerajaan untuk menyediakan infrastruktur diperlukan. "Mungkin kerajaan boleh memberikan kami pinjaman mudah yang kami mampu bayar balik dalam tempoh singkat apabila sistem kami beroperasi," katanya. Sementara itu, Bernama difahamkan Perbendaharaan dan Pejabat Akauntan Negara bersetuju dengan cadangan itu dan bersedia membantu Cuepacs jika kerajaan meluluskan cadangan itu. "Menyediakan infrastruktur bukan masalah besar dan ia boleh dilakukan dengan mudah kerana asasnya sudah ada," kata sumber di MAMPU (Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia). Menurut sumber itu malahan mendapatkan kakitangan berpengalaman bukan satu masalah kerana pegawai berpengalaman daripada Pejabat Akauntan Negara dan jabatan lain boleh dipinjamkan sementara untuk membantu Cuepacs. - Bernama

Rabu, 15 Julai 2009

SEMINAR PENDIDIKAN CUEPACS KEBANGSAAN DAN WANITA


Seminar Pendidikan Cuepacs Kebangsaan dan Wanita akan berlangsung di Pulau Langkawi pada 23 hingga 27 Julai 2009.

Pegawai-pegawai yang terlibat dari Cuepacs Bahagian Perak ialah :

1. Sdr. Abdul Jalil Bin Yang - Pengerusi Cuepacs Perak
2. Sdr. Shuhaimi Bin Othman - N/Pengerusi Cuepacs Perak
3. Sdri. Rodiana Bt. Ridzuan - Ketua Wanita
4. Sdri. Vimaladevi A/P Krishnan - Jawatankuasa

UCAPAN RIBUAN TERIMA KASIH DARI PENGERUSI CUEPACS PERAK



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subahanu Wataala dengan limpah rahmat dan izin Nya Majlis Makan Malam Cuepacs Perak dan Mesyuarat Kongres Cuepacs Malaysia telah dilaksanakan dengan cemerlang sekali.
Terima kasih kepada Cuepacs Pusat kerana memberi kepercayaan kepada Cuepacs Negeri Perak untuk menjadi tuan rumah pada kali ini.

Disini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Dato' Seri Dr. Zambry Abdul Kadir Menteri Besar Perak di atas komitmen dan kerjasama yang telah diberikan oleh YAB kepada pihak Cuepacs khususnya Cuepacs Bahagian Perak dan amnya Cuepacs Malaysia terutama bagi menjayakan Mesyuarat Cuepacs SeMalaysia di Bilik Mesyuarat Utama dan juga Majlis Makan Malam dimana YAB Dato' telah bermurah hati memberikan segala kemudahan Dewan Bankuet ini dan juga dewan Mesyuarat serta peruntukan yang lainnya secara FOC.
Saya berharap kerjasama ini akan berterusan sehingga bila-bila masa sahaja diantara pihak Cuepacs dan juga Kerajaan Negeri serta menjalin hubungan baik diantara kedua belah pihak.

Saya juga merakamkamkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Dato' Dr. Abdul Rahman B. Hashim dan Yg. Bhg. Dato' Bandar Ipoh Dato' Haji Roshidi Bin Haji Hashim yang mana telah memberikan segala kerjasama kepada Cuepacs Malaysia.

Ucapan terima kasih juga saya ucapkan kepada Ketua Polis Perak Yang Berbahagia Datuk Zulkefli B. Abdullah yang mana telah memberikan kerjasama untuk menjamin keselamatan para delegasi yang berada di Bandaraya Ipoh selama tiga hari.

Perhargaan yang tak terhingga juga saya tujukan kepada :

1. Yang Dikasihi Saudara Omar Bin Osman Presiden Cuepacs Malaysia
2. Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan
3. Pengarah Kastam Negeri Perak
Yang Berbahagia Dato' Dzulkarnaim Bin Abdul Rahman
4. Pengarah Penyiaran - RTM Perak Fm
5. Pengerusi Majlis Tindakan Pelancungan Negeri Perak
6. Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi Cuepacs Malaysia
7. Ahli-ahli Majlis Kongres Cuepacs
8. Ahli-ahli Jawatankuasa Cuepacs Bahagian Perak
9. Presiden-presiden Kesatuan Sekerja Semenanjung Malaysia, Sabah Dan Sarawak
10. Ahli-ahli Kesatuan dan Warga Perkhidatan Awam Malaysia
11. Kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak
12. Wartawan Media Masa dan Blogger-blogger
13. Semua yang terlibat dalam merancang dan melaksanakan Majlis Makan Malam dan Mesyuarat Kongres
Cuepacs SeMalaysia.


Rabu, 1 Julai 2009

MESYUARAT BERSAMA JPA DI IPOH

Taklimat Pelaksanaan kenaikan pangkat perkhidmatan 15 tahun.

Satu Taklimat Pelaksanaan kenaikan pangkat pegawai kumpulan sokongan yang telah berkhidmat 15 tahun dan lebih dalam skim perkhidmatan dan perkhidmatan semasa secara khas untuk penyandang (KUP) oleh Dato' Dr Mohd Azhar Bin Hj. Yahaya, Pengarah Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Malaysia telah diadakan di Bilik Mesyuarat Gerakan Negeri, Aras 2 Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, Perak sebelum Mesyuarat Majlis Kongres CUEPACS pada 26hb Jun 2009.

Falsafah Jabatan Perkhidmatan Awam berkenaan pelaksanaan kenaikan pangkat pegawai kumpulan sokongan yang telah berkhidmat 15 tahun dan lebih adalah ‘penjawat awam akan menikmati kenaikan pangkat atau gred sekurang-kurangnya sekali sepanjang perkhidmatan’. Itulah kata-kata mukadimah yang disampaikan oleh Dato’ Dr Azhar Bin Hj. Yahaya.

Diantara kandungan didalam taklimat tersebut seperti:

a) Berdasarkan kepada pengumuman Y.A.B Perdana Menteri dalam Majlis Perhimpunan Pekerja Sektor Awam pada 14hb Mei 2009.

b) Perlaksanaan urusan kenaikan pangkat ini telah dimaklumkan melalui Surat Edaran Bil JPA(S)NP.134/1 Klt.19/s.k 2(11) bertarikh 14hb Mei 2009.

Pegawai Kumpulan Sokongan yang telah berkhidmat 15 tahun dan lebih, serta masih berada digred lantikan dalam skim perkhidmatan dan perkhidmatan semasa dipertimbangkan kenaikan pangkatke gred lebih tinggi sebagaimana ditetapkan dalam perkhidmatannya secara Khas Untuk Penyandang (KUP).

Kenaikan pangkat ini terbuka kepada semua Pegawai Kumpulan Sokongan dalam semua Skim Perkhidmatan Gred 1, 3, 11, 17, 27 dan 29. Perlantikan adalah merangkumi semua pekerja yang berkhidmat didalam semua Perkhidmatan Semasa iaitu pekerja dari lantikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran bagi Perkhidmatan Persekutuan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri bagi Perkhidmatan Negeri, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Kepada semua Ketua Perkhidmatan dan Ketua Jabatan tindakan yang perlu dilakukan adalah bagi memastikan Pegawai Kumpulan Sokongan dibawah tanggung jawab masing-masing yang layak dipertimbangkan kenaikan pangkat. Kelayakkan seseorang pegawai tersebut hendaklah diperakukan kepada Lembaga Kenaikan Pangkat yang berkaitan dengan merujuk kepada kaedah pelaksanaan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian / Jabatan masing-masing dan diperakukan kepada Lembaga Kenaikan Pangkat di Kementerian /Jabatan masing-masing.

Perlaksanaan ini adalah tidak meliputi kepada pegawai dalam skim Perkhidmatan Pengurusan dan Profesional.