Isnin, 26 Oktober 2009

CUEPACS MASIH BERUSAHA MEMINTA BONUS




Tetap mohon bonus 2 bulan gaji

KUALA LUMPUr 25 Okt. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memutuskan untuk tetap memohon supaya kerajaan memberi dua bulan bonus kepada 1.2 juta penjawat awam pada tahun ini.

Pada masa sama, kesatuan itu juga meminta supaya bayaran khas RM500 yang diberi kepada semua penjawat awam sehingga gred 54 dan pesara wajib, diperluaskan kepada pesara pilihan.

Presidennya, Omar Osman berkata, ahli majlis kongres CUEPACS telah memutuskan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat ini.

Menurutnya, tuntutan dua bulan bonus itu telah dinyatakan sebelum Bajet 2010 dibentangkan dan ia dikemukakan semula apabila tiada pengumuman mengenainya dalam belanjawan berkenaan.

“Kita akan hantar surat kepada Perdana Menteri esok untuk bincang mengenai tuntutan bonus dua bulan gaji dan juga perluasan bayaran khas RM500 kepada pesara pilihan selewat-lewatnya minggu hadapan.

“Pesara pilihan sepatutnya turut menerima bayaran itu memandangkan mereka telah sama-sama berkhidmat memajukan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai isu-isu melibatkan kakitangan sektor awam di Wisma CUEPACS di sini hari ini.

Kira-kira 120 ahli kongres hadir dalam mesyuarat itu yang membincangkan isu-isu berhubung Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.

Omar menjelaskan, pembayaran bonus dua bulan itu dan perluasan bayaran khas kepada pesara pilihan adalah wajar bagi menghargai kegigihan kakitangan awam selama ini.

“Kita berharap dua tuntutan kami ini dapat dipertimbangkan bagi membolehkan penjawat awam menjalankan tugas dengan lebih komitmen dan motivasi,” katanya.

Khamis, 22 Oktober 2009

ADAKAH BONUS TAHUN INI ?




Cuepacs, MTUC minta bonus 2 bulan

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Cuepacs dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) masing-masing memohon kerajaan memberi bonus dua bulan gaji kepada 1.6 juta kakitangan dan pesara perkhidmatan awam serta dan memperkenalkan dasar gaji minimum RM900 sebulan bagi semua sektor pekerjaan dalam Bajet 2010, yang akan dibentangkan esok.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata walaupun krisis ekonomi negara belum pulih sepenuhnya, permohonan bonus itu adalah wajar untuk menambah kuasa membeli, selain meningkatkan kebajikan kakitangan awam supaya dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan, produktif dan cemerlang.

Malah, katanya, berdasarkan tinjauan peniaga turut mengharap dan tertunggu-tunggu kakitangan awam menikmati bayaran bonus kerana ia akan mendorong serta mengaktifkan lagi kegiatan jual beli dalam pasaran


“Permohonan kadar bonus itu ditetapkan dalam mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs Khas, 16 Oktober lalu, selepas mengadakan perjumpaan dengan Ketua Setiausaha Negara. Tidak dinafikan bayaran bonus dua bulan gaji kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan dan lebih 400,000 pesara perkhidmatan awam, membabitkan kos yang tinggi.

“Bagaimanapun, diharap kerajaan mempertimbangkan permohonan ini berdasarkan produktiviti dan prestasi kerja kakitangan awam yang semakin baik, di samping kesetiaan serta sokongan penuh mereka kepada kepemimpinan kerajaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud, berkata penetapan gaji minimum RM900 itu akan memberi kesan besar kepada kebajikan rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah, berikutan masih ada pekerja memperoleh kadar upah tidak munasabah serendah RM350 atau RM400 sebulan, termasuk dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Selain itu, MTUC juga meminta kerajaan mendesak majikan sektor swasta memperkenalkan elaun kos sara hidup (Cola) untuk pekerja berpendapatan rendah, di samping menyediakan insentif lain seperti rebat bagi membantu golongan ini serta mengekalkan bantuan subsidi sedia ada.

“Walaupun mungkin berlaku pengurangan dalam Bajet 2010, ia diharap tidak membebankan atau memberi implikasi negatif kepada rakyat yang banyak menyumbang kepada kerajaan pada waktu susah dan senang,” katanya

Khamis, 8 Oktober 2009

KUP ( TIME BASE )





MASIH RAMAI PENJAWAT AWAM YANG BELUM DAPAT KENAIKAN PANGKAT KUP (TIME-BASED)

Media CUEPACS
2/10/2009


Kuala Lumpur: Ucapan aluan presiden Cuepacs Omar Osman memaklumkan semasa musim hari raya kemalangan yang berlaku hampir melibat 40% penjawat awam. Peratus ini boleh dikatakan tinggi dari tahun yang lepas. Oleh itu diharap tahun kemalangan pada musim perayaan dapat dikurangkan. Ramai penjawat awam masih lagi belum menerima kenaikan pangkat time-based (KUP) di beberapa negeri. Cuepacs telah menerima aduan dari penjawat awam seluruh malaysia. Selain itu Cuepacs akan mengadakan Jamuan Hari Raya pada 16 Oktober 2009 di Dewan Dr. Siti Hasmah Rumah Puspanita, Jalan Hose, Kuala Lumpur. Tetamu VIP yang akan datang adalah Perdana Menteri, Menteri, JPA dan Ketua-ketua Jabatan. Setiap Kesatuan gabungan Cuepacs akan menghantar 5-10 orang. Mesyuarat Majlis Tertinggi Cuepacs telah diadakan pada 2 Oktober 2009 di Wisma Cuepacs Kuala Lumpur.