Jumaat, 21 Mac 2014

PEJAWAT AWAM DIINGATKAN TIDAK SEBAR MAKLUMAT TIDAK TEPAT MENGENAI MH370

Bernama
19/3/2014


KLUANG, 18 Mac (Bernama) -- Penjawat awam di negara ini diingatkan agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak tepat berkaitan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata arahan sudah dikeluarkan pihaknya terhadap kira-kira 1.4 penjawat awam supaya mereka tidak terlibat dalam sebarang penyebaran atau spekulasi berhubung penerbangan MH370 berkenaan.

"Banyak pihak terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga sudah berkali-kali mengingatkan hal ini. Jadi, saya mahu penjawat awam menjadi benteng pertahanan negara dengan tidak menjadi 'api dalam sekam' atau 'gunting dalam lipatan'," katanya.

Mohamad Zabidi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Wacana Transformasi Kepimpinan Muda di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Selatan, di sini Selasa.

Beliau berkata sebagai pemimpin masa hadapan, penjawat awam terutama golongan muda mesti berpegang teguh terhadap kesetiaan kepada negara lebih-lebih ketika pelbagai dugaan menimpa negara, seperti kemarau dan jerebu.

Mengenai wacana terbabit, beliau berkata program pembentangan kertas kerja yang turut melibatkan pihak swasta, komuniti setempat serta badan bukan kerajaan itu dapat 'merakyatkan perkhidmatan awam'.

Beliau berkata program itu yang sudah diadakan di INTAN Bukit Kiara, Kuala Lumpur akan diteruskan di kampus INTAN Wilayah Utara di Sungai Petani, Kedah; kampus INTAN Wilayah Timur di Kemaman, Terengganu, kampus INTAN Kota Kinabalu, Sabah serta kampus INTAN Kota Samarahan, Sarawak.

"Menerusi program wacana ini, kita bawa ikon belia yang berjaya dalam bidang masing-masing bagi berkongsi kisah dan kejayaan mereka. Kita juga mahu menarik golongan muda khususnya generasi X dan Y bersama-sama membicarakan tentang dasar-dasar kerajaan pada masa kini dan akan datang," katanya.

-- BERNAMA