Sabtu, 19 April 2014

LEBIH 1,000 PENJAWAT AWAM BAKAL MILIKI RUMAH SENDIRI DI BAWAH PROGRAM PPA1M

Bernama
15/4/2014
 

PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) -- Sejumlah 1,167 penjawat awam bakal menerima unit pangsapuri masing-masing di Putrajaya di bawah program Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) seperti yang diumumkan kerajaan pada Januari tahun lepas.

Mereka yang terpilih pada cabutan undian kali ini yang dilakukan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan ditempatkan di Pangsapuri Jintan di Presint 16 dan Pangsapuri Melinjau di Presint 11, di sini.

Tengku Adnan berkata jumlah cabutan kali ini merupakan siri ketiga dalam Fasa 1 yang menetapkan pembinaan sebanyak 10,639 unit perumahan di Putrajaya dalam jangka masa lima tahun bermula tahun ini.

"Sebelum ini dalam cabutan siri satu dan dua sebanyak 2,323 penjawat awam telah memperolehi rumah sendiri, selepas ini masih terdapat (kira-kira) 7,140 kekosongan rumah," katanya dalam sidang media selepas majlis cabutan itu di sini hari ini.

Beliau yakin dengan adanya pertambahan unit rumah serta yang bakal dibangunkan akan menjadikan jumlah sasaran penduduk di sini akan meningkat secara keseluruhannya kepada 160,000 dalam masa lima tahun.

Tengku Adnan berkata selain rumah untuk penjawat awam, perbincangan sedang dilakukan antara kerajaan dengan Putrajaya Holding supaya tanah yang kosong diserahkan semula kepada Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk pembangunan projek perumahan.

"PPj akan menjadi pemaju untuk membangunkan enam atau tujuh ribu lagi unit rumah yang mampu dimiliki oleh bukan penjawat awam dalam memastikan sasaran kewujudan 20,000 unit rumah di Putrajaya dalam masa lima tahun akan tercapai," katanya.

Sementara itu, beliau berkata bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 10,000 daripada 50,000 unit rumah mampu milik yang bakal dibangunkan akan diperuntukkan kepada penjawat awam.

Di Wilayah Persekutuan Labuan sejumlah 10,000 unit rumah akan dibina dan setakat ini 1,600 telah dibina dan pembinaan 500 unit lagi akan dipercepatkan, katanya.

--BERNAMA