Jumaat, 6 November 2009

BONUS PERMINTAAN KONGRES





BONUS PERMINTAAN KONGRES

Berita Harian
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
6/11/2009





KUALA LUMPUR: Presiden Cuepacs, Omar Osman, mendakwa tindakannya yang meminta bonus dua bulan membabitkan 1.2 juta kakitangan dan pesara perkhidmatan awam adalah suara kongres bukan permintaan individu sehingga dilabelkan salah dari segi moral. Pada masa sama, beliau memahami kesulitan masalah ekonomi negara yang tidak stabil, namun itu hanyalah permintaan yang dilakukan mewakili kongres, bukannya mendesak atau perbuatan melampau untuk mendapatkan bonus berkenaan. Katanya, beliau terima dan hormati teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, namun sedikit kecewa kerana permintaan Cuepacs itu dilabelkan salah dari segi moral.
“Perlu faham, bonus itu hanya permintaan bagi menyuarakan hasil mesyuarat kongres pada semua peringkat termasuk Sabah dan Sarawak, kalau tak mahu bagi, Cuepacs tak mengamuk. “Bukannya kita desak kerajaan sehingga perlu menunaikan bonus dua bulan itu. Apabila kerajaan mengumumkan RM500 untuk semua kakitangan dan bekas pesara awam, Cuepacs ingat ada imbuhan susulan daripada bajet yang dibentangkan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri tindakan Cuepacs menuntut dua bulan bonus untuk 1.2 juta kakitangan dan pesara perkhidmatan awam ketika keadaan ekonomi negara belum pulih sepenuhnya adalah salah dari segi moral.
Omar berkata, kerajaan tidak sepatutnya membandingkan kakitangan awam dengan swasta dari segi kemudahan termasuk bonus tahunan kerana ia mempunyai jarak yang luas. “Setiap tahun kakitangan swasta memperoleh bonus yang banyak dan Cuepacs hanya meminta bonus dua bulan gaji. “Permintaan itu dibuat oleh saya selaku presiden bagi memperjuangkan hak kakitangan awam dan tidak pernah terfikir untuk memperoleh populariti di kalangan penjawat awam,” katanya. Beliau berkata, apa yang dilakukan itu mengikut landasan betul dan menganggap tidak salah sekiranya setiap persatuan yang ada membuat permintaan terhadap pihakkerajaan.
“Saya meminta pada landasan yang betul, saya pun tidak faham maksud Perdana Menteri yang menganggap permintaan saya adalah salah dari segi moral. “Namun, sebagai seorang presiden yang sudah bersama Cuepacs sejak 35 tahun lalu, teguran itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus memperjuangkan hak kakitangan awam pada masa akan datang. “Paling penting, sebagai kakitangan yang paling dekat dengan kerajaan, mereka wajar memperoleh kemudahan yang sepatutnya,” katanya

Khamis, 5 November 2009

SALAH DI SEGI MORAL UNTUK MEMINTA BONUS - NAJIB


SALAH DI SEGI MORAL UNTUK MEMINTA BONUS - NAJIB

Bernama
4/11/2009

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri berkata adalah salah di segi moral untuk meminta mendapatkan bonus kerana negara ini masih bergelut untuk keluar dari kemelesetan ekonomi dan ramai pekerja di sektor swasta dibuang kerja.

"Adalah salah di segi moral untuk meminta mendapatkan bonus apabila ekonomi belum pulih. Saya sentiasa memberitahu Ceupacs (Presiden Omar Osman) bahawa ia tidak boleh bertindak seperti kesatuan sekerja, setiap kali meraung meminta bonus (setiap kali pembentangan bajet) kerana anda mahu menjadi (kekal) popular di kalangan ahli anda," katanya.

Cuepacs, badan induk bagi kesatuan pekerja sektor awam, kini mendesak kerajaan untuk mendapatkan bonus dua bulan bagi 1.2 juta kakitangan awam di negara ini.

"Di dalam sektor swasta, pekerjanya dibuang kerja dan ia tidak berlaku di dalam perkhidmatan kerajaan.

"Bagaimana pun, itu tidak bermakna pekerja cemerlang tidak boleh diberi ganjaran tetapi malangnya sistem sedemikian tidak diwujudkan.

"Jika kita ada sistem yang memotivasikan mereka, tenaga kerja awam juga boleh meningkat untuk menjadi pekerja berprestasi tinggi. Kita sepatutnya memberi ganjaran kepada mereka.

"Kita tidak sepatutnya membiarkan mereka menjadi yang kedua terbaik, tingkatkan prestasi mereka.

"Benar, sesuatu bantuan yang kecil perlu dihulurkan," katanya, sambil menyatakan bahawa "ia seperti permainan golf, sedikit handicap, tetapi mereka perlu mengurangkan lebih masa, dari 24 kepada 18, 12 dan kemudiannya satu angka dan bersaing secara setara dengan pekerja lain.

"Ia juga sama dengan Bumiputera; dari masa ke semasa mereka perlu mengurangkan handicap masing-masing.

"Anda tidak boleh berada pada 24 sepanjang masa. Saya mengimpikan satu hari nanti apabila Bumiputera berupaya bersaing dengan sesiapa pun yang tiada handicap. Hari itu akan tiba. Jadi, kita kurangkannya perlahan-lahan.

Bukan Bumiputera merasakan sistem semasa tidak adil tetapi saya jadikannya lebih adil. Setiap rakyat Malaysia akan dilayan dengan adil di negara ini," kata Najib, yang juga Menteri Kewangan, semasa berucap di Forum Majlis makan Tengah Hari Perniagaan Bankers' Club.

Dua pakej rangsangan RM67 bilion kerajaan telah membantu menampan kesan kemelesetan ekonomi global.

Sehubungan itu, ekonomi negara ini dijangka mengecut hanya 3.0 peratus pada tahun ini, iaitu lebih rendah daripada unjuran lebih awal iaitu penguncupan sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ini dijangka mengembang kira-kira 3.0 peratus pada tahun depan.

Kerajaan telah mengambil langkah berani untuk mengurangkan defisit Kerajaan Persekutuan pada tahun depan kepada 5.6 peratus berbanding 7.4 peratus tahun ini.

--BERNAMA

Isnin, 26 Oktober 2009

CUEPACS MASIH BERUSAHA MEMINTA BONUS




Tetap mohon bonus 2 bulan gaji

KUALA LUMPUr 25 Okt. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memutuskan untuk tetap memohon supaya kerajaan memberi dua bulan bonus kepada 1.2 juta penjawat awam pada tahun ini.

Pada masa sama, kesatuan itu juga meminta supaya bayaran khas RM500 yang diberi kepada semua penjawat awam sehingga gred 54 dan pesara wajib, diperluaskan kepada pesara pilihan.

Presidennya, Omar Osman berkata, ahli majlis kongres CUEPACS telah memutuskan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat ini.

Menurutnya, tuntutan dua bulan bonus itu telah dinyatakan sebelum Bajet 2010 dibentangkan dan ia dikemukakan semula apabila tiada pengumuman mengenainya dalam belanjawan berkenaan.

“Kita akan hantar surat kepada Perdana Menteri esok untuk bincang mengenai tuntutan bonus dua bulan gaji dan juga perluasan bayaran khas RM500 kepada pesara pilihan selewat-lewatnya minggu hadapan.

“Pesara pilihan sepatutnya turut menerima bayaran itu memandangkan mereka telah sama-sama berkhidmat memajukan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai isu-isu melibatkan kakitangan sektor awam di Wisma CUEPACS di sini hari ini.

Kira-kira 120 ahli kongres hadir dalam mesyuarat itu yang membincangkan isu-isu berhubung Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.

Omar menjelaskan, pembayaran bonus dua bulan itu dan perluasan bayaran khas kepada pesara pilihan adalah wajar bagi menghargai kegigihan kakitangan awam selama ini.

“Kita berharap dua tuntutan kami ini dapat dipertimbangkan bagi membolehkan penjawat awam menjalankan tugas dengan lebih komitmen dan motivasi,” katanya.

Khamis, 22 Oktober 2009

ADAKAH BONUS TAHUN INI ?




Cuepacs, MTUC minta bonus 2 bulan

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Cuepacs dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) masing-masing memohon kerajaan memberi bonus dua bulan gaji kepada 1.6 juta kakitangan dan pesara perkhidmatan awam serta dan memperkenalkan dasar gaji minimum RM900 sebulan bagi semua sektor pekerjaan dalam Bajet 2010, yang akan dibentangkan esok.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata walaupun krisis ekonomi negara belum pulih sepenuhnya, permohonan bonus itu adalah wajar untuk menambah kuasa membeli, selain meningkatkan kebajikan kakitangan awam supaya dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan, produktif dan cemerlang.

Malah, katanya, berdasarkan tinjauan peniaga turut mengharap dan tertunggu-tunggu kakitangan awam menikmati bayaran bonus kerana ia akan mendorong serta mengaktifkan lagi kegiatan jual beli dalam pasaran


“Permohonan kadar bonus itu ditetapkan dalam mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs Khas, 16 Oktober lalu, selepas mengadakan perjumpaan dengan Ketua Setiausaha Negara. Tidak dinafikan bayaran bonus dua bulan gaji kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan dan lebih 400,000 pesara perkhidmatan awam, membabitkan kos yang tinggi.

“Bagaimanapun, diharap kerajaan mempertimbangkan permohonan ini berdasarkan produktiviti dan prestasi kerja kakitangan awam yang semakin baik, di samping kesetiaan serta sokongan penuh mereka kepada kepemimpinan kerajaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud, berkata penetapan gaji minimum RM900 itu akan memberi kesan besar kepada kebajikan rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah, berikutan masih ada pekerja memperoleh kadar upah tidak munasabah serendah RM350 atau RM400 sebulan, termasuk dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Selain itu, MTUC juga meminta kerajaan mendesak majikan sektor swasta memperkenalkan elaun kos sara hidup (Cola) untuk pekerja berpendapatan rendah, di samping menyediakan insentif lain seperti rebat bagi membantu golongan ini serta mengekalkan bantuan subsidi sedia ada.

“Walaupun mungkin berlaku pengurangan dalam Bajet 2010, ia diharap tidak membebankan atau memberi implikasi negatif kepada rakyat yang banyak menyumbang kepada kerajaan pada waktu susah dan senang,” katanya

Khamis, 8 Oktober 2009

KUP ( TIME BASE )





MASIH RAMAI PENJAWAT AWAM YANG BELUM DAPAT KENAIKAN PANGKAT KUP (TIME-BASED)

Media CUEPACS
2/10/2009


Kuala Lumpur: Ucapan aluan presiden Cuepacs Omar Osman memaklumkan semasa musim hari raya kemalangan yang berlaku hampir melibat 40% penjawat awam. Peratus ini boleh dikatakan tinggi dari tahun yang lepas. Oleh itu diharap tahun kemalangan pada musim perayaan dapat dikurangkan. Ramai penjawat awam masih lagi belum menerima kenaikan pangkat time-based (KUP) di beberapa negeri. Cuepacs telah menerima aduan dari penjawat awam seluruh malaysia. Selain itu Cuepacs akan mengadakan Jamuan Hari Raya pada 16 Oktober 2009 di Dewan Dr. Siti Hasmah Rumah Puspanita, Jalan Hose, Kuala Lumpur. Tetamu VIP yang akan datang adalah Perdana Menteri, Menteri, JPA dan Ketua-ketua Jabatan. Setiap Kesatuan gabungan Cuepacs akan menghantar 5-10 orang. Mesyuarat Majlis Tertinggi Cuepacs telah diadakan pada 2 Oktober 2009 di Wisma Cuepacs Kuala Lumpur.