Isnin, 17 Februari 2014

PENJAWAT AWAM DIMINTA TERUS BERSAMA CUEPACS SOKONG KERAJAAN

Utusan Malaysia
15/2/2014
 
Wakil Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam bergambar bersama selepas menghadiri taklimat perkhidmatan awam di UMSKAL, Labuan, Sabah, semalam. 
LABUAN 14 Feb. - Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sentiasa berusaha menjaga kebajikan penjawat awam di seluruh negara termasuk di Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak. Timbalan Setiausaha Agung 1, Adnan Mat berkata, kerajaan sekarang yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak sering mendengar denyut nadi penjawat awam menerusi CUEPACS.

"Justeru, kita mahu penjawat awam terus bersama CUEPACS menyokong dasar-dasar kerajaan sedia ada bagi memastikan kebajikan mereka terus dijaga oleh pucuk pimpinan negara," katanya.Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat perkhidmatan awam di Bilik Seminar, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) di sini hari ini.

Taklimat tersebut disampaikan Adnan dan Timbalan Setiausaha Agung II, Abdul Rahman Mohd. Nordin.Program anjuran Kesatuan Kakitangan Am UMS (Kekaumas) itu turut dihadiri Presidennya, Amat Jutrah Musnih; timbalannya, Abd. Jalil Sapli dan Setiausaha Kekaumas UMSKAL, Ahmad Zainudin Awang Besar.Adnan berharap taklimat itu mampu memberikan penerangan dan penjelasan kepada penjawat awam di Labuan tentang 81 skim baharu yang dibentangkan oleh Najib pada pembentangan bajet yang lalu.Katanya, penjawat awam dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan perkembangan semasa yang berkaitan perkhidmatan awam.

Sementara itu, Amat Jutrah berkata, beliau menaruh keyakinan barisan kepimpinan CUEPACS yang baharu dan berharap dapat terus membela nasib 1.4 juta penjawat awam di negara ini. "Penjawat awam termasuk di UMS mengucapkan terima kasih kepada bekas Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman yang banyak berjasa kepada kami. Kami berharap kepimpinan baharu CUEPACS akan memastikan kebajikan penjawat awam terus terbela," ujarnya.

CUEPACS SAMBUT BAIK SKIM PINJAMAN PERUMAHAN TANPA FAEDAH JOHOR

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Skim pinjaman perumahan tanpa faedah bagi anggota perkhidmatan awam Johor, berkuat kuasa 1 Mac ini, merupakan langkah yang amat bijak oleh kerajaan negeri. 
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Azih Muda berkata pengumuman tersebut bersesuaian dengan isu peningkatan kos sara hidup yang sedang dihadapi oleh rakyat.
 
"Ia (pengumuman tersebut) satu langkah bijak (oleh kerajaan negeri) yang harus dicontohi oleh setiap kerajaan negeri yang lain," katanya ketika dihubungi Bernama Jumaat.
 
Menyifatkan tindakan tersebut sebagai 'berani', Azih berkata inisiatif tersebut turut mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam soal kebajikan rakyat.
 
"Cuepacs menyambut baik usaha ini dalam membantu generasi muda dan penjawat awam berpendapatan kurang dari RM3,000 hingga RM4,000, yang tidak mampu dan masih belum membeli rumah," katanya
 
Azih turut berharap kerajaan memperuntukkan tanah dan kawasan baharu kepada pemaju perumahan bagi membina lebih banyak rumah mampu milik.
 
"Cuepacs mengesyorkan rumah bernilai antara RM80,000 dan RM150,000 dibina bagi membolehkan lebih ramai golongan penjawat awam memiliki rumah sendiri," katanya.
 
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Khamis mengumumkan pelaksanaan Skim Pinjaman Tanpa Faedah Perumahan Anggota Perkhidmatan Awam Johor, kepada 1,500 penjawat awam negeri itu,di Kota Iskandar.
 
Sebelum ini, kadar faedah ditetapkan pada empat peratus.
 
"Ini akan memberikan rakyat pilihan, dan jika dilaksanakan secara berkesan akan membantu mengurangkan beban rakyat secara relatif," kata menteri besar itu.
 

KERAJAAN PERLU PANTAU KUALITI BAHAN BINAAN

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Kerajaan perlu memantau kualiti bahan binaan yang digunakan syarikat pemaju perumahan terpilih dalam menyediakan rumah di bawah program MyHome. 
Naib Presiden Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Siti Rahayu Zakaria berkata pemantauan itu penting bagi memastikan rumah yang dibina menepati standard dan selamat diduduki.
 
Beliau yang menyambut baik pelaksanaan program itu berkata setiap pemaju perumahan juga perlu jujur dan tidak melakukan penyelewengan dengan menyediakan rumah tidak seperti harga jualan.
 
"Sekiranya pemaju perumahan menjual sebuah rumah dengan harga RM70,000 atas sebab kerajaan negeri menetapkan harga rumah RM40,000, maka kualiti bahan binaan termasuk rekaan rumah tersebut mestilah berharga RM70,000 kerana kerajaan memberikan subsidi RM30,000 bagi menyiapkan seunit rumah yang telah dibeli.
 
"Apa yang dikhuatiri ialah akan ada pemaju perumahan mengambil kesempatan atas subsidi kerajaan itu apatah lagi kos bahan binaan semakin meningkat, yang secara tidak langsung menyumbang kepada spekulasi harga," katanya kepada Bernama.
 
Program MyHome, yang akan dilancarkan pada April depan, memberi peluang kepada golongan berpendapatan kurang RM3,000 memiliki rumah menerusi pemberian subsidi maksimum sehingga RM30,000.
 
Subsidi tersebut akan diberikan kepada pemohon yang layak untuk membeli pada harga rumah kos serendah mengikut definisi ditetapkan kerajaan negeri.
 
Siti Rahayu berkata syarikat pemaju perumahan perlu memberi komitmen penuh bagi memastikan objektif program ini tercapai, selain dapat membantu golongan sasar memiliki rumah idaman mereka.
 
Di samping itu, beliau turut menyarankan kerajaan agar tidak mengambil masa lama untuk membayar pemaju bagi memastikan mereka dapat menyediakan sijil layak menduduki (CF) dengan segera.
 
Dalam masa sama, Siti Rahayu berkata pendidikan kewangan kepada golongan sasar juga amat penting memandangkan mereka dalam kalangan berpendapatan kurang RM3,000.
 
"Jika golongan sasar ini menghadapi kesulitan kewangan seperti tidak mampu membayar rumah, maka skim menerusi program MyHome akan dilihat seperti membebankan golongan berkenaan," katanya.
 
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia Prof Madya Ahmad Hariza Hashim berkata kerajaan perlu menetapkan standard rekaan rumah yang akan dibina menerusi program MyHome.
 
"Ia termasuklah keluasan rumah, jumlah bilik, reka bentuk dan lokasi rumah tersebut...sekiranya kerajaan dapat memantau perkara ini, ia diharapkan dapat memberi 'hasil' yang menguntungkan pembeli," katanya.
 
Beliau berkata melalui program ini juga tekanan terhadap permintaan rumah kos rendah berkemungkinan dapat dikurangkan dan lebih ramai golongan berpendapatan rendah memiliki rumah terutama di kawasan bandar.
 
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda pula menyarankan kerajaan pusat mengambil langkah bagi mengurangkan beban pinjaman perumahan terhadap rakyat, termasuk penjawat awam di negara ini.
 
"Cuepacs ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Johor yang melaksanakan Skim Pinjaman Perumahan Anggota Perkhidmatan Awam Johor Tanpa Faedah berkuat kuasa 1 Mac ini, langkah ini perlu dicontohi kerajaan pusat atau kerajaan negeri yang lain," katanya.
 
-- BERNAMA

Jumaat, 14 Februari 2014

CUEPACS MINTA COLA DINAIKAN SELEPAS KALI TERAKHIR DISEMAK 2001


MOHAMED Khaled Nordin (tengah) bersama Azih Muda (dua dari kanan) dan Mohd. Shaman Jaes (dua dari kiri) selepas mengadakan pertemuan di Kota Iskandar, Nusajaya, Johor, semalam.
NUSAJAYA 12 Feb. - Kerajaan diminta segera menaikkan elaun termasuk menyelaras Elaun Sara Hidup (Cola) bagi membantu penjawat awam menangani peningkatan kos sara hidup.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda berkata, bayaran elaun penjawat awam masih ditakuk lama selepas kali terakhir disemak pada 2001.
"Kita tidak mahu lagi perkara tersebut (elaun) dikaji lagi sebaliknya mahu ia dinaikkan kerana sudah 12 tahun penjawat awam menanti kenaikan elaun tersebut."Jumlah elaun seperti rumah, khidmat awam dan Cola yang diterima kini tidak lagi sesuai kerana kos sara hidup kini juga sudah meningkat," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di pejabatnya di Kota Iskandar, di sini hari ini.Yang turut hadir, Timbalan Presiden II CUEPACS merangkap Pengerusi CUEPACS negeri, Mohd. Shaman Jaes.
Azih berkata, pihaknya juga meminta jumlah Cola tersebut diselaraskan kepada RM300 dan turut diberikan kepada penjawat awam yang menetap di kuarters kerajaan.Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan bersama Khaled, beliau berkata, beberapa perkara telah dibincangkan termasuk penyediaan lebih banyak rumah mampu milik, kemudahan kesihatan yang lebih baik dan pusat penjagaan bagi anak-anak penjawat awam di negeri ini.

"Beliau (Khaled) memberi jaminan bahawa kerajaan negeri kini dalam usaha membina lebih banyak rumah yang harganya mampu dibeli oleh rakyat termasuklah penjawat awam."Bukan itu sahaja, beliau turut bersetuju dengan cadangan pembinaan hospital baharu di negeri ini bagi mengatasi kesesakan pesakit sekali gus memberikan keselesaan kepada masyarakat," katanya.

Khamis, 30 Januari 2014

Percepat kenaikan gred

IPOH 29 Jan. - Kerajaan digesa mempercepatkan kenaikan gred kira-kira 200,000 pembantu tadbir di seluruh negara yang didakwa tidak disemak oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) lebih 40 tahun lalu.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda berkata, golongan pembantu tadbir kini ternanti-nanti akan pelaksanaan skim tersebut setelah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa menyatakan persetujuan kerajaan untuk mengkaji semula 100 lagi skim perkhidmatan pada November tahun lalu.
"Kita tidak mahu perkara ini menyebabkan rasa ketidakpuasan hati yang berterusan. Mereka berasa kecewa, sebab itu CUEPACS minta perkara ini dipercepat sebelum Jun tahun ini. Tidak perlu tunggu sehingga pengumuman Bajet akan datang.
"Hari ini pun kita dapat meredakan rasa kesal mereka untuk berhimpun di setiap negeri serta di Kuala Lumpur. Kita harap perhimpunan besar-besaran ini tidak berlaku dan mengesyorkan mereka supaya menyerahkan perkara ini kepada CUEPACS untuk berunding dengan kerajaan," katanya sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama Gabungan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani (AUEGCAS), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azih berkata, CUEPACS turut mencadangkan agar semua semakan semula skim perkhidmatan awam dijalankan secara serentak, justeru tiada lagi isu berbangkit seumpama itu selepas ini.
Malah, katanya, kerajaan harus memberikan pertimbangan khusus dalam hal tersebut kerana semakan skim itu tidak menyebabkan banyak implikasi kewangan.
"Kalau boleh biarlah tiada lagi gelaran pembantu tadbir di Gred 17. Berilah nama baharu yang lebih bersesuaian selari dengan program transformasi negara seperti pegawai khidmat tadbir," katanya.