Khamis, 10 September 2009

BANTUAN KHAS KEWANGAN AJE.



Bantuan khas Aidilfitri


KUALA LUMPUR 9 Sept. – Kerajaan mengumumkan pembayaran bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada kakitangan awam kumpulan sokongan bagi membantu mereka menghadapi Aidilfitri dan sesi persekolahan akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataannya di sini hari ini berkata, bayaran itu akan dibuat dua kali iaitu RM250 sebelum Aidilfitri dan bakinya pada Disember ini.

Menurutnya, bantuan khas kewangan itu akan memanfaatkan 860,000 kakitangan awam dalam kumpulan tersebut.

“Implikasi kewangan kepada kerajaan bagi bayaran tersebut adalah sebanyak RM430 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri menambah, keputusan itu diambil setelah mengambil kira kebajikan kakitangan awam dalam kumpulan itu terutama bagi meringankan beban kos persediaan musim perayaan dan persediaan persekolahan hujung tahun ini.

Baru-baru ini, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merayu kerajaan menimbangkan ‘duit raya’ atau bonus kepada penjawat awam dalam pengumuman Bajet, Oktober ini.

Menurut presidennya, Omar Osman, pihaknya bersetuju jika Elaun Sara Hidup (COLA) tidak dapat dinaikkan memandangkan keadaan ekonomi yang lembap ketika ini.

“Tetapi tetapi kita harap biarlah dalam musim perayaan nanti kira-kira 1.2 juta penjawat awam di negara ini menikmati ’duit raya’,” katanya.

Malah, Omar dilaporkan memberitahu, perbincangan mengenai bonus itu telah diadakan menerusi dalam mesyuarat tertinggi kongres tersebut dan dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Tahun lalu, dua juta kakitangan awam negara ini menerima bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 dalam pembentangan Bajet 2009 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

1 ulasan:

  1. kepada semua penjawat awam,kita seharusnya sedar bahawa kita bertuah walaupun dengan hanya bantuan khas hari raya,kita masih mendapat perhatian dari PM.cuba kita muhasabah diri, jika kita berada bersama rakan-rakan disektor swasta...ada yang sampai meminjam ceti....bersyukur la kita.....amin.....

    BalasPadam