Khamis, 1 Julai 2010

BERITA BAIK:TAWARAN DIPLOMA UNTUK PEJAWAT SEKTOR AWAM

29 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik tawaran Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada golongan pekerja yang berminat untuk mendapatkan pengajian tinggi secara percuma ke peringkat diploma untuk semua peringkat umur.

Presiden Cuepacs Omar Osman berkata tawaran UiTM itu selaras dengan hasrat kerajaan menerusi Model Baru Ekonomi (MEB) bagi meningkatkan pendapatan golongan pekerja.

"Ini satu peluang kepada kakitangan awam lebih-lebih lagi bagi menyahut cabaran untuk semua pekerja lebih bermaklumat dan berilmu dalam meningkatkan produktiviti mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Perwakilan TriTahunan Cuepacs Negeri Melaka di sini hari Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Mohamed Khalid Nordin bahawa pengajian secara percuma akan ditawarkan kepada pekerja yang berminat tetapi tidak berkemampuan untuk mengikuti program jarak jauh dan luar kampus di semua kampus UiTM tidak lama lagi.

Menurut Khalid tawaran itu merupakan satu tanggungjawab sosial UiTM yang diusahakan sendiri oleh universiti itu melalui program " Mengubah Destini Anak Bangsa".

Omar berkata Cuepacs berhasrat bersama-sama kerajaan menerusi Model Baru Ekonomi untuk gaji kakitangan awam ditingkatkan dua kali ganda daripada sekarang dengan peningkatan produktiviti serta berinovatif dan berinovasi.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Cuepacs berpandangan Program Transformasi Kerajaan perlu selaras dengan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bagi kakitangan kerajaan dalam kenaikan pangkat.

" Kita nak tengok model PTK kerajaan selaras dengan penilaian PTK ke arah melahirkan pekerja yang berkemahiran dalam institusi perkhidmatan awam," katanya.

Beliau berkata adalah penting kakitangan kerajaan yang lulus PTK terdiri daripada pekerja yang berkemahiran dan bukannya golongan mereka yang hanya pandai membaca buku dan lulus PTK tetapi tidak meningkatkan produktiviti.

1 ulasan:

  1. assalamualaikum....,
    sy bersetuju dgn cadangan yg di unjurkan,,,cuma ada permasalahan iaitu permohonan loan bg yg bpendapatan rm100km,,,sbg contoh yang bergaji pokok rm 900{bkhidmat selama 2-3 tahun} dan ke bawah hanya layak utk memohon maksima rm 96k sahaja sedangkan harga rumah kini rm100k dan keatas,,,,sy harap agar pihak tuan dpt mengusahakan sesuatu bg memperbaiki situasi ini.sekian

    BalasPadam