Selasa, 17 Ogos 2010

PEKERJAAN SEPARUH MASA

MEKANISME BENARKAN PEKERJA LAKUKAN KERJA SEPARUH MASA PERLU KAJIAN TELITI - CUEPACS

Bernama
17/8/2010



PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Mekanisme yang membenarkan petugas dalam sektor awam dan swasta bekerja separuh masa mulai 1 Okt tahun ini perlu dikaji dengan teliti bagi memastikan produktiviti dan prestasi pekerja tidak terjejas.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman berkata kebenaran itu akan memberi manfaat besar kepada golongan pekerja khususnya kakitangan awam kerana berpeluang menambah pendapatan mereka, tetapi ia perlu dikaji daripada segenap aspek agar tidak memberi masalah di kemudian hari.

Keputusan itu sedikit sebanyak akan mempengaruhi produktiviti dan prestasi pekerjaan sebenar petugas terbabit, apatah lagi jika mereka memperoleh pendapatan yang lebih lumayan dalam kerja separuh masa itu berbanding gaji yang diperoleh daripada pekerjaan tetap, katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa di Sri Perdana di sini Isnin malam.

Beliau diminta mengulas pengumuman Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam hari ini bahawa lebih satu juta pekerja sektor awam dan swasta akan dibenarkan melakukan kerja separuh masa selepas peraturan baru mengenainya siap digubal dalam masa dua bulan lagi.

Omar berkata tindakan itu perlu disusuli dengan pemerhatian teliti dalam segenap aspek, termasuk perlindungan ke atas pekerja sewaktu melakukan kerja separuh masa berkenaan.

"Kita nak tahu, sekiranya kakitangan awam ini ditimpa kemalangan sewaktu sedang melakukan kerja separuh masa, adakah mereka tertakluk dalam insurans dan pampasan oleh majikan sebenar atau majikan separuh masa mereka," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan Cuepacs meminta agar kerajaan memberi bantuan kewangan kepada penjawat awam untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, Omar berkata perkara itu telah pun dipanjangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya telah sampaikan kepada Perdana Menteri tadi, meminta jasa baik kerajaan untuk memberi pendahuluan berjumlah RM1,000 hingga RM1,500 kepada kakitangan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Seperti yang diketahui, gaji pada bulan Ogos telah digunakan untuk persiapan menyambut Ramadan, justeru sedikit bantuan kewangan amat diperlukan bagi membolehkan persiapan lebaran dilaksanakan dengan sempurna," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan