Isnin, 7 Februari 2011

KAJI GAJI MINIMUM

Cuepacs pada Isnin meminta kerajaan menetapkan gaji minimum bagi penjawat awam supaya mereka dapat menampung kos kehidupan yang semakin tinggi.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata pada masa ini, gaji yang diterima penjawat awam terutamanya kumpulan sokongan, masih lagi berada di bawah garis kemiskinan RM720 sebulan.

"Contohnya bagi Gred 1 hingga Gred 16 dalam Kumpulan Sokongan II, permulaan gaji RM647, bawah paras gaji kemiskinan. Sekarang paling tidak mesti RM850 atau RM920, dan ini tak termasuk elaun, hanya gaji pokok.

"Kakitangan kerajaan sekarang ni, kalau ikut betul-betul gaji, memang belum sampai gaji minimum. Tapi disebabkan tambah elaun, maka sampai (paras gaji minimum)," katanya kepada pemberita selepas Bengkel Pemantapan Disiplin dan Integriti Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia di sini, Isnin.

Beliau berkata gaji yang rendah boleh mengakibatkan produktiviti pekerja terjejas terutamanya apabila mereka melakukan pekerjaan sambilan.

Justeru, Omar berkata kerajaan perlu menyemak semula gaji minimum bagi penjawat awam dan menyelaraskannya dengan sektor swasta untuk mengelakkan perkara melibatkan disiplin pekerja itu berlarutan.

Kali terakhir kerajaan membuat semakan gaji ialah pada Mei 2007.

Omar juga berharap Makmal Gaji Minimum yang akan berlangsung esok dapat mencari rumusan terbaik masalah gaji yang rendah di kalangan penjawat awam.

Makmal tiga hari itu yang akan berlangsung pada 8, 11 dan 14 Februari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dijangka dapat mencapai kata sepakat berhubung cadangan penetapan gaji minimum sebanyak RM900 sebulan.

Mengenai isu Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang akan dimansuhkan Jun depan, Omar berkata bahagian kompetensi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini sedang mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak bagi mencari bentuk penilaian baru yang sesuai berbanding konsep peperiksaan dalam PTK.- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan