Selasa, 1 November 2011

SPBA

SPBA PERKENAL DASAR KELUAR BAGI PENJAWAT AWAM

Bernama
26/10/2011


KUCHING, 25 Okt (Bernama) -- Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dilaksanakan mulai tahun depan bakal menguatkuasakan "dasar keluar" bagi penjawat awam yang berprestasi rendah atau yang ingin bertukar ke agensi lain termasuk swasta.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata buat permulaan dasar itu melibatkan penjawat awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan penilaian dibuat berdasarkan laporan prestasi tahunan serta Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) penjawat awam berkenaan.

Kumpulan Pengurusan dan Profesional melibatkan penjawat awam Gred 41 ke atas.

"Ia bagus kerana di bawah dasar baru tersebut penjawat awam tidak akan hilang status pencen serta faedah lain yang layak diterima," katanya kepada Bernama selepas taklimat isu semasa Cuepacs untuk ketua-ketua jabatan dan penjawat awam negeri ini di Bangunan Sultan Iskandar Selasa.

Omar berkata berbeza dengan Skim Saraan Malaysia (SSM) pada masa ini yang membenarkan penjawat awam untuk pencen awal pada umur 40 tahun, SBPA membenarkan penjawat awam berbuat demikian lebih awal tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang akan ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Katanya dasar baru itu memberi ruang kepada penjawat awam untuk bertukar kerjaya sama ada berkhidmat di agensi lain seperti Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atau swasta yang sedia ada sekarang.

"Dasar ini bagus kerana mungkin penjawat awam tersebut boleh meningkatkan produktiviti di sektor lain yang dirasakan sesuai untuk mereka," katanya.

Mengenai tarikh pelaksanaan SBPA, Omar berkata Cuepacs memohon kepada kerajaan sistem itu dikuatkuasakan serentak dengan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (Prospek) bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bermula 1 Januari 2012 namun tarikh pelaksanaan sebenar belum dipastikan kerana Cuepacs akan bertemu JPA pada 1 Nov ini untuk perbincangan dan taklimat lanjut SBPA.

Terdahulu semasa sesi taklimat, beliau berkata dua komponen Prospek bakal diperkenalkan iaitu Penilaian Khas Kompetensi (PKK) dan Program Pembangunan Potensi (PBR) melibatkan gred 17 ke atas manakala gred 16 ke bawah hanya memerlukan penjawat awam kategori berkenaan menghadiri kursus selama tujuh hari.

Katanya tiada langsung peperiksaan dan PKK akan dinilai oleh penyelia atau ketua jabatan manakala PBR dikendalikan bersama dengan wakil daripada Cuepacs.

Beliau memberi jaminan penjawat awam yang layak mengikuti PBR dinaikkan pangkat secara automatik kerana mereka hanya akan dipanggil mengikuti kursus PBR berdasarkan kekosongan jawatan.

"Sebagai contoh, jika ada 30 jawatan kosong maka 30 calon akan dipanggil mengikuti PBR dan bukan seperti amalan sedia ada sekiranya ada tiga jawatan kosong maka lebih 10 atau 20 dipanggil untuk temuduga atau menduduki peperiksaan walaupun yang diisi hanya tiga sahaja. Ini membuang masa dan merugikan wang kerajaan," katanya.

Omar berkata di bawah SBPA, Kumpulan Sokongan 1 dan 2 akan dikenali sebagai Kumpulan Pegawai Pelaksana 1 dan 2 selaras dengan tugas-tugas tambahan yang bakal dilakukan selain daripada tugas hakiki sekarang.

Khamis, 29 September 2011

MAJLIS MESRA HARI RAYA DAN SAMBUTAN KEMERDEKAAN, CUEPACS PERAK 2011


Ucapan Pengerusi Cuepacs Negeri Perak En. Abdul Jalil Bin Yang



Majlis Mesra Jamuan Hari Raya Aidilfitri 1432H dan sambutan Hari Kemerdekaan ke 54 ini berlangsung di Wisma Kastam Negeri Perak pada 28.9.2011 jam 8.00 malam. Semua ahli gabungan Cuepacs Negeri Perak telah hadir di Majlis ini. Berbagai-bagai juadah di sediakan untuk tetamu yang hadir.

Khamis, 25 Ogos 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI: UCAPAN PENGERUSI CUEPACS PERAK

Assalamu’alaikum W.B.T

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi Ramadhan tahun ini akan melabuhkan tirainya dan saya selaku Pengerusi CUEPACS Bahagian Perak dan seluruh Jawatankuasa CUEPACS Bahagian Perak mengucapakan Selamat Menyambut Hari Raya AIDILFITRI

Saya serta Ahli Jawtankuasa CUEPACS Bahagian mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh Penjawat Awam tanpa mengira di mana mereka berada.

Mudah-mudahan sambutan Hari Raya pada tahun ini benar-benar bermakna kepada kita semua, terutamanya bagi mereka yang dapat menyempurnakan ibadah puasa dengan jayanya.

Kita patut bersyukur kerana dapat merayakan saat kejayaan ini dalam suasana aman dan damai tanpa adanya peperangan, kelaparan, ketakutan dan kesedihan.

Keadaan ini berbeza sekali dengan nasib sesetengah umat Islam di negara-negara lain yang merayakan Hari Raya ini dalam serba kekurangan. Sesetengah mereka berhari raya dalam ketakutan kerana peperangan. Sesetengahnya pula berhari raya dalam kesedihan kerana kemiskinan atau ditimpa bencana alam.

Suasana ini tidak berlaku di negara kita. Al-hamdulillah. Semuanya berhari raya dalam suasana gembira dan ceria. Tidak ada rakyat Malaysia yang dilaporkan berhari raya dalam keadaan ketakutan. Tidak ada rakyat Malaysia yang diberitakan terpaksa mengemis untuk membuat persediaan menyambut Hari Raya.

Juga tidak kedengaran rakyat Malaysia yang tidak dapat merayakan hari bertuah ini kerana ketiadaan perbelanjaan dan wang ringgit. Boleh dikatakan kebanyakan kita adalah berkemampuan.

Oleh kerana itu, kita patut bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan bumi Malaysia ini dengan segala kemakmuran, kekayaan alam semula jadi dan keamanan penduduknya. Justeru, kita perlu mengekalkan suasana yang sedia ada. Semua ini penting bagi menjamin negara kita terus makmur dan mendapat keredhaan Allah

Di kesempatan ini saya juga memohon kemaafan bagi pihak CUEPACS Bahagian di atas kesalahan dan kekurangan yang mungkin berlaku sepanjang melaksanakan tanggungjawab,menguruskan CUEPACS Bahagian . Maaf zahir dan batin.

Saya bersyukur kerana diberikan ruang ini untuk sama-sama kita mengingati antara satu sama lain. Kepada sahabat-sahabat yang pulang ke kampung, berhati-hati ketika memandu.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri



Jumaat, 19 Ogos 2011

PENJAWAT AWAM:BERHEMAHLAH DALAM PERBELANJAAN

PENGUMUMAN pemberian bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada penjawat awam tentunya disambut dengan perasaan gembira oleh semua kakitangan kerajaan. Selain itu, kerajaan juga akan membuat Bayaran Khas Kewangan kepada semua pesara kerajaan.

Bonus dan bayaran khas yang akan dikreditkan pertengahan bulan ini, tepat pada masanya bagi membantu 1.27 juta penjawat awam Persekutuan dan 590,000 pesara kerajaan khususnya beragama Islam membuat persediaan menyambut Aidilfitri.

Pemberian berkenaan, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah bagi menghargai sumbangan dan dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara. Diharapkan semua penerima tidak lupa bersyukur di atas rezeki yang diterima dan dapat diterjemahkan dengan tekad untuk berkhidmat lebih gigih agar produktiviti jabatan masing-masing dapat dipertingkat.

Peningkatan produktiviti ini seterusnya bermakna hasil kerajaan akan bertambah, dan peluang untuk mendapat bonus selanjutnya pada masa depan menjadi lebih cerah. Di samping itu, penerimanya tidak harus membazir dengan berbelanja melebihi kemampuan masing-masing, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang. Perbelanjaan tidak berhemah akan hanya membawa kepada kenaikan harga barangan berikutan peningkatan permintaan mendadak dan ini seterusnya akan bermakna wang bonus itu hanya dapat dimanfaatkan oleh golongan peniaga semata-mata.

Kerajaan memperuntukkan RM2 bilion untuk melaksanakan pembayaran bonus dan bayaran khas itu. Walau apa sekali pun, pemberian bonus dan bayaran khas itu sekali lagi membuktikan kerajaan sentiasa peka terhadap nasib penjawat awam dan pesara kerajaan khususnya, serta rakyat secara amnya yang sudah tentu terpaksa menyediakan perbelanjaan tambahan menjelang Aidilfitri. Namun, kita berharap hasrat murni kerajaan untuk meringankan beban penjawat awam dan pesara ini tidak dinafikan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab dengan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara melampau.


Sikap tamak haloba segelintir peniaga ini banyak kelihatan pada Ramadan ini yang menyaksikan kenaikan harga juadah berbuka puasa seperti kuih muih yang kini dijual lebih mahal berbanding sebelumnya. Keadaan ini tidak akan berlaku jika pengguna lebih berhemah dan bijak dengan membeli barang yang perlu saja. Dalam pada kakitangan awam menikmati bonus hari raya, mereka yang bertugas dalam sektor swasta turut menaruh harapan untuk mendapat imbuhan sama.

Perkara ini sebenarnya di luar pertimbangan kerajaan, sebaliknya terletak kepada keputusan majikan masing-masing. Namun, demi meringankan beban kewangan pekerja, kita berpendapat ada baiknya majikan sektor swasta memikirkan kaedah untuk membayar sebahagian bonus tahunan pekerjanya pada musim hari raya.

Selasa, 16 Ogos 2011

KAJIAN SEMULA PEMBERIAN BIASISWA HARAP TELUS DAN TERBUKA

BARU-BARU ini penulis menerima panggilan telefon daripada seorang kenalan yang juga pemimpin sebuah parti politik di peringkat cawangan. Beliau bukanlah “VIP” penting dalam parti tersebut tetapi seorang pemimpin di peringkat akar umbi yang amat aktif sekali.

Nadanya tersedu-sedu dan sebak seketika sebelum beliau meneruskan perbualannya dengan penulis mengenai masa depan anaknya yang gagal mendapat sebarang biasiswa walaupun memperolehi 7A dalam peperiksaan SPM 2010.

Beliau bekerja sebagai kerani di sebuah jabatan kerajaan manakala isterinya hanyalah seorang suri rumahtangga. Kedua–dua anak kembarnya mendapat 7A dalam peperiksaan SPM, tetapi gagal memperolehi sebarang biasiswa kerajaan mahupun program matrikulasi.

Katanya, dia telah berjumpa dengan semua pemimpin untuk mendapat sokongan, rayuan dan bantuan tetapi segala percubaan serta permohonannya menerima jawapan “dukacita dimaklumkan permohonan anda gagal”.

Sungguhpun begitu semangatnya tidak luntur sama sekali. Dia cuba melakukan yang terbaik demi masa depan anak-anaknya.Dia membuat keputusan untuk menghantar anaknya ke sebuah universiti swasta bagi mengikuti program A-Level tetapi sekali lagi hasrat dan niatnya itu tercabar dan bertambah sukar kerana kosnya terlalu tinggi.

Dia terpaksa meminta tolong daripada kawan–kawan,pemimpin politik dan saudara mara untuk meminjam wang setakat mana yang boleh tetapi segala percubaannya sekali lagi tidak tercapai.

Ketika di saat itulah dia terfikir betapa pentingnya simpanan wang dapat menjamin masa depan anak-anak tanpa bergantung pada mana–mana pihak.

“Saya tak perlu tadah tangan kepada sesiapa sekiranya saya ada simpanan sendiri...,” katanya kepada penulis.

Penulis dapat menyelami perasaan dan bisikan hati seorang bapa yang terpaksa menanggung pelbagai rintangan, cabaran dan pengorbanan dalam misinya mengejar ilmu demi masa depan anak-anaknya.

Begitulah serba sedikit cerita tentang kenalan penulis itu yang berkisar mengenai isu biasiswa dan betapa pentingnya kuasa “Ringgit Malaysia” dalam menentukan masa depan seseorang individu dalam bidang pendidikan pada zaman ini.

“Yang kaya tu tak kisahlah, mereka mampu menghantar anak mereka sampai ke luar negara tetapi bagi kumpulan dan golongan yang miskin serta berpendapatan rendah pula macam mana? Sudah tentulah mereka mengharapkan biasiswa kerajaan ataupun swasta,” begitulah intipati kandungan emel yang diterima oleh penulis daripada seorang rakan dari Ipoh baru–baru ini.

Persoalannya, apakah faktor kekayaan dan kemiskinan yang dapat menentukan hala tuju serta nasib seseorang pelajar? Pastinya ibubapa perlu pandai merancang masa depan anak–anak mereka sejak kecil lagi. Pada masa yang sama, setiap pelajar yang cemerlang yang “berhak” menerima bantuan harus dibantu tanpa mengira status mereka.

Bercakap mengenai isu tersebut, kerajaan memang sudah menyatakan kriteria–kriteria yang tertentu mengenai pemberian biasiswa JPA kepada para pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang iaitu hanya kepada mereka yang memperolehi 8A+ ke atas.

Bagaimanapun, yang menjadi rungutan pelajar ialah mereka ditawarkan jurusan yang bukan menjadi pilihan utama mereka atau sepadan dengan keputusan mereka.

Disebabkan karenah tersebutlah ada segelintir pelajar dan ibubapa terpaksa mencari ruang di media massa untuk melontorkan bisikan hati mereka. Ada pula dikalangan mereka terpaksa merayu kepada parti–parti politik yang mewakili kaum mereka disebabkan tidak mampu lagi menghadapi tekanan emosi dan mental.

Terdapat satu kes seorang pelajar keturunan India yang mendapat 12A+ ditawarkan jurusan Sains Veterinar. Pelajar tersebut yang berasal dari keluarga yang miskin akhirnya tiada pilihan dan terpaksa merayu kepada Presiden MIC, Datuk G. Palanivel bagi membantunya menyelesaikan isu tersebut.

Berkat usaha presiden MIC itu, pelajar berkenaan akhirnya ditawarkan biasiswa penuh dalam jurusan perubatan di sebuah universti swasta dalam negara dan bukannya luar negara walaupun pelajar tersebut pernah menerima beberapa anugerah cemerlang sebagai pelajar terbaik SPM 2010 namun nasibnya tidak menyinar sepertimana keputusannya mendapat 12A+.

Isu–isu seperti inilah yang menyebabkan reputasi JPA dan kerajaan tercalar.

Pada masa yang sama, jangan pula kita pandai-pandai mahu menuduh sistem pendidikan negara sebagai kononnya “kurang standard” sekiranya ramai dikalangan para pelajar mampu meraih 6A, 7A, 8A 9A ataupun 12A.

Mungkin kerajaan perlu menilai semula sistem gred yang melibatkan “plus dan minus” disebabkan banyak sangat kekeliruan dalam membezakan sesuatu gred. Ada yang tetap mempertahankan A tetap A dan apalah ada pada “plus dan minus” ini?

Apa pun berikanlah suntikan semangat, sokongan, kerjasama dan bantuan kepada mereka supaya dapat mendakap kecemerlangan di peringkat pengajian tinggi dalam jurusan pilihan mereka mengikut prestasi masing–masing.

Isu biasiswa ini sudah menjadi semakin kritikal dan kontroversi malah sudah disensasikan sehingga dipolitikkan setiap kali keputusan SPM diumumkan sejak kebelakangan ini. Malah isu–isu seperti ini perlu dibendung segera kerana pendidikan merupakan satu perkara yang amat sensitif kepada masyarakat. Sepertimana yang termaktub dalam gagasan 1 Malaysia iaitu menjamin kesaksamaan akses kepada pendidikan yang berkualiti dan mampu diperolehi semua warga Malaysia untuk semua peringkat pendidikan terutama bagi penduduk luar bandar. Kita harap pihak–pihak yang terbabit dapat menjadikan panduan tersebut sebagai satu “pegangan” kuat untuk merealisasikan harapan rakyat.

Berikanlah keutamaan kepada semua pelajar yang mendapat keputusan cemerlang khususnya yang mendapat 6A+ dan 7A+ yang datang dari keluarga misikin tegar serta berpendapatan rendah dari kawasan luar bandar seperti dari estet, rumah panjang dan kampung. Ini kerana kumpulan seperti ini “tidak mampu” menyara kos pengajian anak-anak mereka disebabkan masalah kemiskinan dan tidak memiliki banyak kemudahan yang lain sepertimana di bandar.

Kita tidak boleh membiarkan kumpulan tersebut tercicir begitu sahaja disebabkan gagal memenuhi kriteria 8A+. Mutu dan prestasi mereka mungkin lebih terserlah sekiranya mereka diberikan bantuan yang sewajarnya sehingga menjadi insan yang terbilang.

Mungkin pihak kerajaan dan agensi yang terbabit dapat membentuk satu “pangkalan data” berkaitan dengan para pelajar yang cemerlang termasuk yang mendapat 8A, 7A dan 6A serta memantau prestasi masing–masing dari semasa ke semasa sehingga mereka berjaya mendapat ijazah masing–masing.

Dalam konteks ini, ramai pihak yang menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru–baru ini menyatakan mulai tahun depan polisi sedia ada dalam pemberian biasiswa JPA kepada pelajar cemerlang akan dikaji semula secara menyeluruh.

Kita sama–sama berharap kajian tersebut akan dilakukan secara terbuka dan terperinci demi masa depan semua pelajar 1 Malaysia.