Jumaat, 20 Disember 2013

NAJIB MAHU PENJAWAT AWAM TERUS JULANG NEGARA DI MATA DUNIA

Bernama
17/12/2013




KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mahu anggota perkhidmatan awam terus bekerja keras menjayakan misi menjadikan Malaysia negara maju dan terus dipandang tinggi oleh pemimpin dunia.

Perdana menteri berkata dengan kerjasama 1.4 juta penjawat awam yang mendukung aspirasi itu, beliau yakin Malaysia akan terus berkembang menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi seperti yang dihasratkan.

"Bila saya bersalaman dengan perdana menteri dari negara lain, misalnya Perdana Menteri Jepun (Shinzo Abe) atau Presiden China (Xi Jinping) dan lepas ini Presiden Obama (Presiden Amerika Syarikat Barack Obama) pula nak datang, saya nak mereka melihat dan menghormati Malaysia sebagai negara yang semakin hari semakin menjurus kepada sebuah negara maju yang sama-sama kita boleh banggakan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Konvensyen Tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) ke-26 di sini Selasa.

Najib berkata hubungan dan kerjasama baik penjawat awam dan kerajaan perlu diteruskan dengan setiap daripada mereka perlu menjadikan misi itu sebagai komitmen yang perlu didukung, dihayati dan dilaksana untuk kebaikan bersama.

"Mudah-mudahan kerjasama ini akan menjadikan kita sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi, kita tak nak lagi orang perlekehkan kita," kata perdana menteri.

Obama yang dijadual ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak Keusahawanan Global kali ke-4 pada 11 hingga 12 Okt lepas terpaksa menangguhkan lawatannya berikutan penutupan operasi sebahagian agensi pentadbiran negara itu.

Najib ketika mengumumkan perkara itu pada 2 Okt lepas berkata Obama menyatakan beliau tetap komited membuat lawatan ke Malaysia.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan