Isnin, 7 Februari 2011

KAJI GAJI MINIMUM

Cuepacs pada Isnin meminta kerajaan menetapkan gaji minimum bagi penjawat awam supaya mereka dapat menampung kos kehidupan yang semakin tinggi.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata pada masa ini, gaji yang diterima penjawat awam terutamanya kumpulan sokongan, masih lagi berada di bawah garis kemiskinan RM720 sebulan.

"Contohnya bagi Gred 1 hingga Gred 16 dalam Kumpulan Sokongan II, permulaan gaji RM647, bawah paras gaji kemiskinan. Sekarang paling tidak mesti RM850 atau RM920, dan ini tak termasuk elaun, hanya gaji pokok.

"Kakitangan kerajaan sekarang ni, kalau ikut betul-betul gaji, memang belum sampai gaji minimum. Tapi disebabkan tambah elaun, maka sampai (paras gaji minimum)," katanya kepada pemberita selepas Bengkel Pemantapan Disiplin dan Integriti Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia di sini, Isnin.

Beliau berkata gaji yang rendah boleh mengakibatkan produktiviti pekerja terjejas terutamanya apabila mereka melakukan pekerjaan sambilan.

Justeru, Omar berkata kerajaan perlu menyemak semula gaji minimum bagi penjawat awam dan menyelaraskannya dengan sektor swasta untuk mengelakkan perkara melibatkan disiplin pekerja itu berlarutan.

Kali terakhir kerajaan membuat semakan gaji ialah pada Mei 2007.

Omar juga berharap Makmal Gaji Minimum yang akan berlangsung esok dapat mencari rumusan terbaik masalah gaji yang rendah di kalangan penjawat awam.

Makmal tiga hari itu yang akan berlangsung pada 8, 11 dan 14 Februari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dijangka dapat mencapai kata sepakat berhubung cadangan penetapan gaji minimum sebanyak RM900 sebulan.

Mengenai isu Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang akan dimansuhkan Jun depan, Omar berkata bahagian kompetensi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini sedang mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak bagi mencari bentuk penilaian baru yang sesuai berbanding konsep peperiksaan dalam PTK.- BERNAMA

Khamis, 27 Januari 2011

BERITA KPDNKK

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menjelaskan bayaran 20 sen bagi setiap beg plastik yang dikenakan kepada pengguna setiap Sabtu di seluruh negara adalah sempena Kempen Kurangkan Penggunaan Beg Plastik anjuran kementerian itu.

Peraturan itu yang dikuatkuasakan sejak 1 Jan lepas di semua pasar raya besar (hypermarket), supermarket, departmental store dan premis perniagaan terpilih di seluruh negara dibuat sempena Hari Tanpa Beg Plastik, menurut kenyataan akhbar kementerian itu di sini, Khamis.

Menurutnya pada setiap Sabtu, pengguna tidak lagi dibekalkan dengan beg plastik percuma tetapi dikenakan bayaran 20 sen bagi setiap beg plastik.

Wang hasil pembelian beg plastik oleh pengguna itu akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan terpilih di bawah program "Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)" syarikat tersebut, dan juga bagi pelaksanaan program-program kepenggunaan terutamanya yang berkaitan pemeliharaan alam sekitar.

SEGALA AKTIVITI CUEPACS DIGANTUNG

Beberapa anggota gabungan Cuepacs, yang akhir tahun lalu mempertikaikan keputusan pemilihan badan induk kesatuan sektor awam itu, mahu Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja menggantung segala aktivitinya sementara hasil siasatan diumumkan kelak.

Ramli Omar, yang mewakili kesatuan-kesatuan gabungan terbabit berkata, pihaknya berharap jabatan itu akan mengarahkan agar segala aktiviti Cuepacs digantung bagi mengelakkan implikasi pengurusan dan pentadbiran.

“Sekarang siasatan sedang dijalankan, jadi sepatutnya Cuepacs tidak menjalankan sebarang aktiviti . . . itu yang sepatutnya berlaku, kita belum tahu lagi apa hasil siasatan, sama ada positif atau negatif,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider petang ini.

Ramli berkata, jabatan itu telah pun menjalankan siasatan dengan menemu bual kesatuan-kesatuan yang membuat aduan sepanjang tiga minggu lalu.

Bagaimanapun Ramli mengakui pihaknya tidak membuat permintaan rasmi kepada jabatan itu agar mengambil tindakan sedemikian.

“Kami tidak hantar surat permintaan kepada jabatan, tapi kami anggap bahawa sebaik sahaja siasatan dijalankan, Cuepacs tidak sepatutnya mengadakan aktivitinya, semua aktiviti kena dihentikan.

“Selagi keputusan tidak dibuat oleh jabatan, kami mengandaikan keputusan-keputusan yang dibuat oleh barisan kepimpinan yang menang, apa jua keputusan dibuat akan memberi kesan ke atas Cuepacs,” kata beliau yang bertanding jawatan presiden tetapi tewas di tangan Datuk Omar Osman.

Kesatuan-kesatuan terbabit mengemukakan bantahan mendakwa berlaku pelanggaran perlembagaan dan peraturan pada Konvensyen Cuepacs ke-25 yang berlangsung pada 21 hingga 23 Disember lalu.

Surat bantahan itu disampaikan oleh bekas Timbalan Presiden Cuepacs Husain Mohd Yasin kepada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Omana P.V.C Pillai pada 29 Disember lalu.

Ketika itu, Husain, yang juga Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaya berkata, bantahan dibuat berikutan berlakunya insiden dan pelaksanaan konvensyen, yang turut mengadakan pemilihan pegawai tertinggi dan majlis tertinggi, tidak mematuhi perlembagaan dan peraturan Cuepacs serta Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Misalnya notis konvensyen yang diberikan kepada ahli gabungan tidak mengikut perlembagaan iaitu tidak mencukupi tempoh, dan wujud kepincangan tatacara ketika pelaksanaan proses pengundian.

Antara kesatuan lain yang membantah adalah kesatuan kakitangan awam Institut

Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan dan Universiti Utara Malaysia.

Selasa, 25 Januari 2011

SEDIA PIKUL TANGGUNGJAWAB

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia memerlukan modal insan yang mampu melaksanakan tanggungjawab membangunkan negara daripada segi kemajuan fizikal dan sosial.

"Ini bermakna saudara saudari, selaku golongan muda dan harapan negara, harus bersedia memikul tanggungjawab ini," kata Perdana Menteri dalam blog beliau, 1Malaysia, hari ini.

Jumaat lepas, beliau melancarkan Dana Belia 1Malaysia yang menyediakan geran berjumlah RM20 juta bagi membiayai projek yang diilhamkan oleh golongan belia.

Najib berkata, bahawa hasil interaksi beliau dengan golongan muda, beliau dapat menyaksikan dan mendengar pelbagai idea dan rancangan hebat yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negara menerusi berbagai-bagai cara.

"Sekecil mana idea sekalipun akan dapat membawa perubahan besar kepada masyarakat dan kepada anda sendiri. Dana ini menggalakkan anda menerokai idea-idea tersebut," kata Perdana Menteri sambil meminta golongan belia melayari laman web dana itu untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

Najib berkata, beliau amat teruja kerana sebahagian daripada dana itu akan ditawarkan menerusi program khas televisyen di stesen kendalian Media Prima pada April nanti.

Katanya, ramai rakyat Malaysia akan menonton serta menyokong golongan muda yang cuba menjadikan impian mereka satu kenyataan.

"Dana ini amat istimewa kepada saya," kata Najib sambil meminta golongan muda supaya merebut peluang yang disediakan bagi mencapai impian dan matlamat mereka untuk Malaysia.

Sebaliknya pula, kata beliau, negara mengharapkan mereka supaya melakukan perkara-perkara yang hebat hasil daripada peluang itu. -

BERNAMA.

Isnin, 24 Januari 2011

SISTEM BARU UNTUK PENJAWAT AWAM

SISTEM penilaian baru yang bakal diperkenalkan kerajaan bagi menilai prestasi kakitangan awam menggantikan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) diharap dapat mengatasi beberapa masalah yang timbul dalam pelaksanaan PTK sebelum ini. Kita percaya sistem penilaian baru ...itu yang akan dilaksanakan selepas pemansuhan PTK berkuat kuasa 1 Januari lalu dapat memuaskan hati semua pihak, terutama kakitangan awam.
Kita mahu pelaksanaan sistem penilaian baru itu dapat menjamin hanya kakitangan awam yang benar-benar layak dan cemerlang mendapat kenaikan pangkat dan pergerakan gaji. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2011 Oktober lalu menyedari masalah yang wujud berikutan banyak rungutan berhubung PTK. Sebab itulah kerajaan memutuskan PTK tidak lagi diguna pakai dalam proses kenaikan pangkat dan jawatan bagi sektor perkhidmatan awam.
Tentunya ramai kakitangan awam menyambut baik pengumuman Perdana Menteri itu kerana prestasi seseorang kakitangan awam itu sewajarnya dinilai daripada banyak aspek dan tidak berdasarkan peperiksaan PTK semata-mata.

Antara aspek yang perlu diambil kira termasuk pengalaman kerja, produktiviti, pencapaian individu dalam menyumbang kepada jabatan masing-masing serta kemampuan menjawab soalan peperiksaan berdasarkan bidang tugas hakiki. Kelmarin akhbar ini melaporkan, satu sistem penilaian baru akan diwujudkan bertujuan meningkatkan prestasi kakitangan awam serta keseluruhan sektor perkhidmatan awam di negara ini.
Walaupun sistem penilaian baru itu belum diberi nama khusus, kita yakin ia dapat menilai kakitangan berdasarkan tugas hakiki, pengalaman dan keunikan jabatan antara aspek utama yang akan diambil kira, berbanding PTK.

Kita sedia maklum kaedah mengukur prestasi kakitangan awam menggunakan PTK sering dipersoal kakitangan awam sendiri. Sebahagian besar kakitangan yang mengguna pakai sistem itu mendakwa prestasi kerja mereka tidak dinilai dengan tepat, malah lebih buruk wujud pilih kasih. Menilai hanya berdasarkan jawapan yang diberi di atas kertas melalui PTK sama sekali gagal mencapai matlamat melahirkan kakitangan cemerlang, produktif dan memiliki integriti. Selain penyediaan soalan objektif, ada juga berbentuk subjektif yang dikatakan tiada kaitan langsung dengan tugas hakiki dan pengalaman bekerja kakitangan.

Keadaan itu, secara tidak langsung memberi tekanan kepada kakitangan awam, terutama yang kebanyakannya hampir mencecah usia persaraan untuk mentelaah sukatan pelajaran PTK, berbanding kakitangan muda. Berikutan itu, ada kakitangan yang terpaksa meninggalkan tugas mereka semata-mata mahu memberi tumpuan kepada peperiksaan dan keadaan itu menyebabkan produktiviti terjejas.
Kepada kakitangan senior yang gagal PTK mereka akan kecewa, apatah lagi melihat kakitangan baru lebih muda lulus, dinaikkan pangkat dan menjadi ketua mereka, walaupun tiada pengalaman. Apa yang membimbangkan kita disebabkan tidak lulus PTK, ada kakitangan yang memprotes secara senyap dengan tidak bekerja bersungguh-sungguh.
Berikutan itu, banyak pihak, terutama CUEPACS yang mewakili hampir 1.2 juta kakitangan awam mahu PTK dimansuhkan dan digantikan dengan kaedah lebih sesuai dalam menilai prestasi kakitangan awam. Kita harap prestasi kakitangan awam akan dinilai dengan seadil-adilnya menerusi sistem penilaian baru ini agar tidak ada lagi kelemahan yang boleh menjejaskan motivasi kakitangan awam melaksanakan tugas yang diamanahkan rakyat.