Selasa, 25 Januari 2011

SEDIA PIKUL TANGGUNGJAWAB

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia memerlukan modal insan yang mampu melaksanakan tanggungjawab membangunkan negara daripada segi kemajuan fizikal dan sosial.

"Ini bermakna saudara saudari, selaku golongan muda dan harapan negara, harus bersedia memikul tanggungjawab ini," kata Perdana Menteri dalam blog beliau, 1Malaysia, hari ini.

Jumaat lepas, beliau melancarkan Dana Belia 1Malaysia yang menyediakan geran berjumlah RM20 juta bagi membiayai projek yang diilhamkan oleh golongan belia.

Najib berkata, bahawa hasil interaksi beliau dengan golongan muda, beliau dapat menyaksikan dan mendengar pelbagai idea dan rancangan hebat yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negara menerusi berbagai-bagai cara.

"Sekecil mana idea sekalipun akan dapat membawa perubahan besar kepada masyarakat dan kepada anda sendiri. Dana ini menggalakkan anda menerokai idea-idea tersebut," kata Perdana Menteri sambil meminta golongan belia melayari laman web dana itu untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

Najib berkata, beliau amat teruja kerana sebahagian daripada dana itu akan ditawarkan menerusi program khas televisyen di stesen kendalian Media Prima pada April nanti.

Katanya, ramai rakyat Malaysia akan menonton serta menyokong golongan muda yang cuba menjadikan impian mereka satu kenyataan.

"Dana ini amat istimewa kepada saya," kata Najib sambil meminta golongan muda supaya merebut peluang yang disediakan bagi mencapai impian dan matlamat mereka untuk Malaysia.

Sebaliknya pula, kata beliau, negara mengharapkan mereka supaya melakukan perkara-perkara yang hebat hasil daripada peluang itu. -

BERNAMA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan