Rabu, 29 Disember 2010

PEMILIHAN CUEPACS TIDAK SAH?

Dilihat sebagai kali pertama dalam sejarah Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), keputusan pemilihan minggu lalu kini dipertikaikan dan mahu diisytiharkan sebagai tidak sah.

Sekurang-kurangnya lima kesatuan gabungan Cuepacs membawa pertikaian berhubung tatacara pemilihan yang menyaksikan presidennya Omar Osman, yang kontrak perkhidmatan beliau dikatakan disambung setahun, dibawa ke perhatian Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja untuk tindakan susulan — diisytiharkan sebagai melanggar peraturan dan undang-undang kesatuan sekerja.

Pemimpin-pemimpin kesatuan itu juga mahu satu pemilihan baru diadakan. Pemilihan minggu lalu diadakan sempena persidangan tritahunannya yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam memorandum yang dikemukakan petang ini, antara lain kesatuan-kesatuan tersebut menggariskan Cuepacs telah gagal mematuhi tatacara pemilihan.

“Salah satu perkara yang menjadi pertikaian ialah sekretariat Cuepacs telah gagal mematuhi keperluan memberikan notis pemilihan lapan minggu sebagaimana dikehendaki oleh perlembagaan Cuepacs,” kata bekas setiausaha agung Ahmad Shah Mohd Zin kepada The Malaysian Insider.

“Ini pelanggaran yang jelas dan bertentangan dengan perlembagaan Cuepacs,” kata Ahmad Shah yang berada di Mekah untuk menunaikan haji.

The Malaysian Insider difahamkan notis itu dikeluarkan minggu kedua bulan November manakala persidangan perwakilan tritahunannya, yang dirasmikan pada 21 Disember.

Dengan pemilihan diadakan pada 22 Disember, sesi pencalonan pemilihan ditutup 30 November manakala pengesahan penerimaan adalah pada 15 Disember.

Ahmad Shah yang juga Setiausaha Agung Kesatria berkata, sekretariat Cuepacs juga telah gagal mewartakan tempat pemilihan sebagaimana dikehendaki oleh Akta Kesatuan Sekerja.

Malah mereka juga mempertikaikan pelanggaran keputusan tidak diumumkan pada hari yang sama, sebaliknya pada keesokan hari.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut. “Kami berharap Jabatan Kesatuan Sekerja akan menyiasat dengan rapi dan mengarahkan satu pemilihan baru diadakan,” kata beliau.

Pada pemilihan yang berlangsung Rabu lalu Omar menewaskan Ramli Omar manakala Ahmad Shah pula tewas kepada Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Lok Yim Peng dalam saingan tiga penjuru. Seorang lagi pencabar ialah Ku Azmi Ku Ibrahim, yang kali pertama bertanding jawatan setiausaha agung.

Jawatan timbalan presiden pula dimenangi oleh Azih Muda dan Zainal Ismail.

Azih yang juga timbalan presiden semasa memperoleh undi tertinggi dan dijangka akan menggantikan Omar apabila beliau bersara tahun depan.

Tiga kerusi jawatan timbalan setiausaha agung dimenangi oleh Adnan Mat, Abd Rahman Norrdin dan Mohamad Baharom.

Jawatan setiausaha kewangan yang menyaksikan persaingan satu lawan satu dimenangi Ja’apar Mansor, yang menewaskan Samuel Devadasan.

The Malaysian Insider juga difahamkan pertikaian itu boleh dibawa ke mahkamah jika kesatuan yang mengadu itu tidak berpuas hati dengan keputusan Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja.

Cuepacs walaupun sebuah badan induk tetapi ia didaftarkan di bawah Akta Kesatuan Sekerja manakala Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia yang turut mengadakan pemilihan hari ini didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan.

Dalam pada itu Bernama melaporkan, bekas Timbalan Presiden Cuepacs Husain Mohd Yasin kepada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Omana P.V.C Pillai di lobi Kementerian Sumber Manusia, petang ini.

Husain, yang juga Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaya berkata, bantahan dibuat berikutan berlakunya insiden dan pelaksanaan konvensyen, yang turut mengadakan pemilihan pegawai tertinggi dan majlis tertinggi, tidak mematuhi perlembagaan dan peraturan Cuepacs serta Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Antara kesatuan lain yang membantah adalah kesatuan kakitangan awam Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), dan Universiti Utara Malaysia (UUM), katanya.

Husain berharap Jabatan Hal Ehwal Kesatuan akan melakukan siasatan dengan segera untuk menentukan kedudukan Konvensyen Cuepacs itu.

Omana ketika ditemui pemberita berkata pihaknya akan melakukan siasatan berdasarkan maklumat yang diperoleh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan