CUEPACS Bahagian Perak mengucapkan selamat menyambut tahun 2011 kepada semua Anggota Kerajaan, semoga tahun 2011 dapat menambahkan keazaman serta komitmen yang tinggi dalam meneruskan agenda Kerajaan bagi mencapai kejayaan dalam menghadapi serta cabaran yang terus mendatang.
(Sdr Abdul Jalil b Hj Yang, Pengerusi CUEPACS Perak)
Ucapan Perdana Menteri sempena Tahun 2011
"Janganlah kita hanya berpuas hati dan hanya berpeluk tubuh menjadi
pengkritik di tepian. Marilah kita corakkan masa depan generasi hari muka kepada
yang lebih baik daripada hari ini.
"Kuasa membentuk adalah di tangan rakyat. Tunaikanlah tanggungjawab ini
dengan sebaik-baiknya," katanya. Najib juga mengingatkan generasi kini supaya tidak memperdagang atau
mempertaruhkan nasib generasi akan datang dengan membuat keputusan yang salah.
"Ini bukanlah masa untuk bereksperimen tetapi waktu untuk memperbaharui
kepercayaan dan mengukuhkan keyakinan kepada apa yang telah terbukti berkesan,"
katanya.
Kata Najib, dalam menguruskan negara, terutamanya ehwal ekonomi, kerajaan
sentiasa mengamalkan sikap penuh kebertanggungjawaban.
"Sebagai kerajaan yang begitu prihatin dalam meresapi nadi dan naluri
rakyat, kita tidak akan sekali-kali membelakangkan kepentingan orang ramai
dengan menjanjikan sesuatu atau mengambil sebarang keputusan yang pada mata
kasarnya popular namun hakikatnya bersifat amat menjejaskan kemudian hari
terhadap kepentingan semua," katanya.
Perdana Menteri berkata sememangnya mana-mana kerajaan yang menggubal atau
menjanjikan dasar-dasar sekadar bersifat popular tetapi tidak bertanggungjawab
mungkin akan mendapat pengiktirafan atau sanjungan jangka pendek tetapi untuk
tempoh masa panjang, rakyat yang sebenarnya akan menderita.
"Mengambil iktibar daripada kekhilafan-kekhilafan sekeliling, sepanjang
2010, kita telah merancang asas-asas yang kukuh bagi menentukan keseluruhan
potensi dan sumber negara mampu dirangsang serta diaturgerakkan ke arah
tercapainya wawasan kebangsaan," katanya.
Antara yang diperkenalkan termasuk pelancaran Program Transformasi Kerajaan
(GTP) bersama enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi
Ekonomi (ETP) dan 12 NKEAnya, sebagai teras kepada Model Baru Ekonomi, Rancangan
Malaysia ke-10 dan Bajet 2011 - yang merupakan peta laluan komprehensif untuk
mengangkat taraf dan mutu hidup lebih tinggi kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Sejak sekian lama, kerajaan yang diberi mandat telah mentadbir dan berusaha
dengan ikhlas untuk memberikan yang terbaik kepada keperluan rakyat serta
kemajuan negara.
"Sayangnya terdapat pihak-pihak yang menangguk di air keruh dengan
sewenang-sewenangnya menuduh bahawa kerajaan hanya berminat terhadap
projek-projek tertentu terutamanya yang berbentuk mega. Sesungguhnya lemparan
kata-kata itu tidak benar sama sekali," tegasnya.
Sinis menepis kritikan beberapa pihak, khususnya pembangkang, mengenai
pembinaan beberapa projek seperti pembinaan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS),
Menara Berkembar Petronas dan Jabatan Pulau Pinang, Najib berkata pihak sama
kini tersipu-sipu malu dan terkesima untuk mengakui kesilapan mereka kerana
terbukti projek-projek yang dilaksanakan kerajaan itu telah memberi manfaat
kepada rakyat terbanyak.
"Persoalannya jika pendapat mereka terbukti salah dalam perkara yang
sebegitu besar, bagaimanakah mungkin rakyat boleh mempercayai lagi sebarang
janji mereka?
"Apatah lagi baru-baru ini janji 100 hari mereka yang hanya akan menambahkan
lagi perbelanjaan tanpa mengambil kira realiti pendapatan serta punca kewangan
negara," soal Perdana Menteri.
Berharap rakyat Malaysia mampu melihat dan menilai "yang mana kaca, yang
mana permata", Najib menegaskan bahawa kerajaan sejak dahulu telah memberi
perhatian kepada matlamat untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan.
Ini kerana katanya lonjakan kekayaan negara akan membolehkan peningkatan
untuk perbelanjaan dan terlaksananya keadilan sosial.
"Ia berkadar terus, ertinya, semakin meningkat pendapatan kerajaan, maka
semakin meningkat perbelanjaan untuk kesejahteraan rakyat," katanya yang menyeru
seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama untuk menyahut seruan untuk menuju
ke puncak kejayaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan