Rabu, 22 Disember 2010

TUBUH MAJLIS BERSAMA KEBANGSAAN UNTUK GURU

Datuk Seri Najib Razak berjanji untuk mewujudkan satu badan perundingan khas, dipercayai bertaraf Majlis Bersama Kebangsaan, bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan perkhidmatan perguruan, yang bilangan mereka satu pertiga daripada 1.2 juta tenaga kerja sektor awam.

Cuepacs membawa syor itu sekitar 2002 tetapi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dilaporkan telah menolaknya.

Presiden Cuepacs Omar Osman memberitahu perwakilannya bahawa Najib menjanjikan penubuhan badan khas itu selepas merasmikan persidangan tritahunan badan induk kesatuan sektor tersebut semalam.

“Semasa sesi minum (selepas perasmian persidangan) Datuk Seri Najib ada memberitahu bahawa satu badan perundingan akan ditubuhkan bagi mengatasi masalah dan isu-isu yang wujud dalam perkhidmatan perguruan.

“Perdana Menteri berkata beliau akan meminta JPA melihat perkara ini,” kata beliau ketika sesi perbahasan penyata tritahunan di sini.

Omar berkata Najib menjanjikan perkara itu memandangkan guru terdiri daripada satu pertiga tenaga kerja sektor awam peringkat persekutuan.

Menurut Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan, bilangan guru dianggarkan dalam lingkungan 438,000 daripada 1.2 juta kakitangan awam.

Malah terdapat 27 kesatuan dan persatuan yang mewakili kaum guru di seluruh negara kata Hashim ketika dihubungi The Malaysian Insider kemudian.

“Jika ada satu badan khas untuk membincangkan isu gred perkhidmatan dan saraan guru, ia satu perkara yang baik,” katanya.

Cuepacs mengadakan persidangan tiga tahun sekali selama tiga hari bermula semalam.

Persidangan hari ini tertumpu pada aspek pemilihan pucuk kepimpinan.

Setiausaha Agung Cuepacs Ahmad Shah Mohd Zin ketika ditemui berkata kemungkinan badan itu mirip Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi membincangkan soal-soal berkaitan dengan skim perkhidmatan.

“Sebelum Sistem Saraan Baru (SSB) diperkenalkan (pada 1991), ada MBK khas untuk perkhidmatan guru, tetapi dimansuhkan selepas SSB dilaksanakan,” kata beliau.

“Saya fikir kerajaan akan wujudkan majlis macam itu... satu MBK khusus untuk guru,” kata beliau.

“Menurut apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri, kerajaan akan timbang satu majlis perundingan seperti MBK, yang dikhususkan kepada perkhidmatan perguruan kerana guru mempunyai lebih banyak masalah,” kata beliau.

Sebelum SSB diperkenalkan lima MBK berfungsi sebagai saluran perbincangan dengan kerajaan iaitu masing-masing bagi perkhidmatan am, rendah, pelajaran, badan-badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

Ekoran pelaksanaan SSB, kelima-lima MBK itu disusun semula mengikuti kategori kumpulan pengurusan dan profesional, am sokongan dan sains dan teknologi.

“Kami anggap ini perkembangan positif,” kata Ahmad Shah yang juga setiausaha MBK Kumpulan Sains dan Teknologi.

Hashim juga bersetuju bahawa perkhidmatan perguruan yang terdiri daripada skop perkhidmatan berbeza memerlukan sebuah majlis khas untuk menyelesaikan masalah dan isu yang wujud.

“Sebenarnya kita ada banyak isu dan masalah, jadi untuk selesaikannya kami memerlukan satu badan khas, kami memerlukan satu mekanisme khusus,” kata beliau tetapi tidak dapat menjelaskan bagaimana majlis yang dimaksudkan akan berfungsi.

“Kami pun baru dengar, jadi kami tidak pasti mekanisme badan yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

NUTP juga merupakan salah satu kesatuan gabungan terbesar dalam Cuepacs.

Ia mempunyai 250 perwakilan dalam MBK dan 50 perwakilan dalam persidangan tritahunan Cuepacs.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan